Image

Image

1 Julai 2025 | Dewan Inai Merah, Menara MBJB
Mesyuarat Penuh Majlis Bandaraya Johor Bahru Bil. 6/2025 telah berlangsung pagi ini di Dewan Inai Merah, Menara MBJB, dipengerusikan oleh YB Dato’ Haji Mohd Haffiz bin Haji Ahmad, Datuk Bandar Johor Bahru.
Sebagai pembuka bicara, Datuk Bandar mengucapkan Salam Maal Hijrah kepada seluruh muslimin dan muslimat, dengan harapan agar tahun baharu ini membuka tirai kehidupan yang lebih bermakna dengan azam dan semangat yang diperbaharui.
Dalam mesyuarat ini, Datuk Bandar memaklumkan bahawa MBJB akan melalui dua sesi pengauditan penting — Verifikasi dan Validasi Penarafan Bandar Pintar Malaysia 2025 (Tahap 3: Leading Smart City) serta Audit Pensijilan Semula MS ISO 9001:2015. Justeru itu, seluruh warga kerja MBJB diseru untuk terus berusaha dan bersama-sama mendoakan kejayaan dalam kedua-dua penilaian ini.
Mesyuarat turut menyentuh insiden kebakaran industri di Jalan Kempas 12, Taman Megah Ria pada 21 Jun lalu yang melibatkan lima buah kilang tidak sah. Kebakaran berjaya dikawal hasil tindakan pantas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dengan kerjasama agensi seperti JAS, PDRM, MBJB dan APM. Siasatan mendapati pelanggaran terhadap undang-undang berkaitan tanah, alam sekitar, keselamatan dan pengurusan sisa, dan tindakan akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada.
Datuk Bandar turut menekankan kepatuhan terhadap peraturan pelesenan iklan, terutamanya penggunaan Bahasa Malaysia dalam paparan visual iklan, sebagaimana ditetapkan dalam Undang-undang Kecil Pelesenan Iklan (MBJB) 2010. Beberapa notis pematuhan telah dikeluarkan kepada premis-premis dan kompleks perniagaan yang didapati melanggar peraturan tersebut.
Mengakhiri ucapannya, YB Dato’ mengucapkan tahniah kepada semua pemenang Program Pendidikan Kelestarian Sekolah yang menerima sambutan amat memberangsangkan dengan penyertaan sebanyak 123 buah sekolah. Usaha ini amat penting bagi menanam kesedaran kelestarian dan budaya rendah karbon dalam kalangan generasi muda. Semoga Johor Bahru terus maju sebagai Bandar Raya Pintar, Lestari dan Sejahtera.