Langkau ke kandungan utama

Perakuan Siap dan Pematuhan (ccc)

Apakah tindakan PBT sekiranya menerima dokumen pengemukaan Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) yang tidak lengkap?

Merujuk kepada Seksyen 70(27)(b) Akta yang tersebut di atas, sekiranya CCC dikeluarkan oleh PSP tanpa borang yang berkaitan sebagaimana yang telah ditetapkan di dalam undang-undang kecil yang dibuat di bawah Akta tersebut, denda boleh dikenakan ke atas PSP tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Adakah Jurutera Profesional layak mengeluarkan CCC bagi bangunan kediaman/projek perumahan?

Berdasarkan Pekeliling yang dikeluarkan oleh Lembaga Jurutera Malaysia bertajuk Submission of Plans by Architects, Professional Engineers and Registered Building Draughtsmen, Appendix A, B, dan C berkenaan pengemukaan pelan-pelan oleh Arkitek dan Jurutera Profesional, Jurutera Profesional adalah tidak layak mengeluarkan CCC bagi projek kediaman / perumahan.

Perlukah Borang G17 bagi Perakuan Berperingkat Jalan dan Parit mendapat surat pengesahan daripada PBT?

Perlu. Merujuk kepada Borang G17 di bawah Jadual Kedua, Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984, surat pengesahan daripada PBT perlu dilampirkan bersama-sama Borang G17. Walau bagaimanapun, sekiranya Orang Yang Mengemukakan tidak menerima sebarang pengesahan dalam tempoh 14 hari dari tempoh permohonan, surat pengesahan adalah dianggap telah diberikan.

Adakah PBT masih mempunyai duty of care bagi memastikan bangunan yang dibina adalah selamat dan siap untuk diduduki?

Ya, di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) PBT masih mempunyai duty of care bagi memastikan bangunan yang dibina adalah selamat dan siap untuk diduduki. Merujuk kepada Seksyen 70(23)(a) dan (b) Akta yang tersebut di atas, PBT boleh mengeluarkan notis bertulis kepada PSP untuk memperbetulkan segala ketidakpatuhan yang dilakukan semasa pembinaan dan juga arahan bertulis untuk menahan pengeluaran perakuan siap dan pematuhan sehingga ketidakpatuhan itu telah diperbetulkan. 

Apakah kesan atau implikasi kepada bangunan yang mengalami kegagalan sekiranya PSP meninggal dunia atau tidak dapat dikesan setelah CCC dikeluarkan?

Sekiranya PSP meninggal dunia atau tidak dapat dikesan, CCC yang dikeluarkan oleh PSP tersebut masih lagi sah. Namun, tanggungjawab dan liabiliti PSP ke atas CCC tersebut tamat setelah kematian PSP tersebut. 

CCC adalah satu pendekatan self-regulation dan self-certification yang melibatkan tanggungjawab ke atas kesemua Profesional termasuk Arkitek dan Jurutera Profesional, Kontraktor dan Tred berkenaan. Kesemua profesional yang menandatangani Borang G1-G21 adalah bertanggungjawab ke atas pembinaan bangunan tersebut.