Langkau ke kandungan utama

Nilai semula bangunan di JB, ambil kira faktor gempa bumi – MBJB

Image
Buletin TV3

JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan memulakan usaha untuk membuat kajian menyeluruh bagi menilai semula bangunan lama atau sedia ada serta menilai piawaian pembinaan bangunan baharu yang mengambil kira faktor gempa bumi.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Haffiz Ahmad berkata, perkara itu dicadangkan pihaknya susulan berlakunya gempa bumi di Segamat dan Batu Pahat, walaupun dalam skala lemah hingga sederhana.

“Sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang merancang pembangunan bandar Johor Bahru, kita perlu ambil kira juga faktor gempa bumi ini.

“Walaupun setakat ini bencana itu tidak berlaku di bandar raya ini, namun kita tetap perlu bersedia. Kita akan nilai balik piawaian yang ada dan ambil kira faktor gempa ini dalam pengurusan pelan pembangunan.

“Untuk bangunan lama, kita akan nilai semula. Namun, bagi bangunan baharu, sebenarnya mereka sudah mula ambil kira faktor gempa bumi, tetapi lebih baik untuk kita lihat semula perkara ini secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Mesyuarat Penuh MBJB Bil 9/2025 di Dewan Inai Merah, Menara MBJB di sini, hari ini.

Menurut Mohd Haffiz, kajian yang akan dibuat akan membabitkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Jabatan Mineral dan Geosains, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), institusi pengajian tinggi, pihak yang mempunyai kepakaran selain pihak pemaju.

“Kajian ini juga boleh melihat keperluan untuk penetapan piawaian yang baharu terhadap syarat pembinaan bangunan sedia ada bagi memastikan pembinaan bangunan baharu yang lebih selamat serta mengurangkan risiko kerosakan besar sekiranya berlaku kejadian gempa bumi,” katanya.

Sumber : Buletin TV3