Ahad, 22 Disember 2024 | Seramai 50 orang pengamal media dan agensi media telah diraikan dalam Majlis Apresiasi Media 2024 anjuran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bersempena Sambutan Ulang Tahun Perisytiharan MBJB ke-30 di Dewan Kenanga, Menara MBJB malam tadi.
Wartawan dan pengamal media yang hadir terdiri dari pelbagai agensi media cetak, elektronik dan radio dari Kelab Media Johor. Sebanyak 4 kategori anugerah telah disampaikan oleh YB Dato’ Haji Mohd. Noorazam bin Dato’ Haji Osman, Datuk Bandar Johor Bahru, iaitu Anugerah Rakan Media Aktif, Anugerah Wartawan dan Anugerah Artikel, Rencana dan Penerbitan Terbaik 2024.
Dalam ucapan beliau, YB Datuk Bandar telah menyatakan penghargaan kepada seluruh agensi media yang sering membantu menyampaikan maklumat yang tepat kepada warga bandar raya dan menjadi agen penting hubungan baik antara PBT dan masyarakat.
Hadir sama ialah Encik Mohd. Fauzi bin Ishak, Presiden Kelab Media Johor, Y.Bhg. Datuk Yahya bin Jaafar, Pengerusi Yayasan Bandaraya Johor Bahru, Y.Bhg. Dato’ Haji Abd Rashid bin Kasman, Ahli Majlis MBJB Zon Kempas, Tuan Haji Abu Talib bin Alias, Ahli Majlis MBJB Zon Bakar Batu, Tuan Haji Mohd Farid bin Hassan, Setiausaha MBJB, Ir. Hajah Nazatul Shima binti Mohamad, Timbalan Setiausaha MBJB, ketua-ketua biro agensi media, Ahli-Ahli Majlis MBJB, ketua-ketua jabatan serta pegawai MBJB.
Tahniah diucapkan kepada para pemenang anugerah serta jutaan terima kasih diucapkan atas sokongan para media selama ini.