Sekiranya PSP meninggal dunia atau tidak dapat dikesan, CCC yang dikeluarkan oleh PSP tersebut masih lagi sah. Namun, tanggungjawab dan liabiliti PSP ke atas CCC tersebut tamat setelah kematian PSP tersebut.
CCC adalah satu pendekatan self-regulation dan self-certification yang melibatkan tanggungjawab ke atas kesemua Profesional termasuk Arkitek dan Jurutera Profesional, Kontraktor dan Tred berkenaan. Kesemua profesional yang menandatangani Borang G1-G21 adalah bertanggungjawab ke atas pembinaan bangunan tersebut.
Oleh yang demikian, sekiranya berlaku kegagalan kepada bangunan dan PSP telah meninggal dunia atau tidak dapat dikesan, maka tanggungjawab masih digalas oleh profesional yang lain yang menandatangani Borang G.
Walau bagaimanapun, mengikut Seksyen 85A, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) menyatakan bahawa bangunan perlu diperiksa secara berkala untuk memastikan keselamatan dan kekukuhan bangunan yang telah diduduki dan seterusnya dapat mengelakkan kegagalan kepada bangunan tersebut.