MBJB pasang 23 perangkap sampah, tangani pencemaran

JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB)  memasang 23 unit perangkap sampah bersistem yang menelan kos RM12.5 juta di 14 lokasi di bandar raya ini.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd  Noorazam Osman berkata, antara lokasi yang telah dipasang perangkap sampah itu ialah Sungai Sebulung, Sungai Taman Johor, Sungai Pandan, Sungai Tampoi dan Sungai Ayer Molek.

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan sungai-sungai dalam bandar raya ini yang  di bawah seliaan MBJB tidak dicemari sampah-sarap yang boleh menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat.

“Longgokan sampah ini bergantung dengan pasang surut air. Apabila air surut, sampah akan dibawa ke laut dan bila air pasang, ia akan naik ke atas dan sebab itu, perkara ini kita perlu kawal di peringkat anak sungai lagi.

“Di MBJB, kita sudah pasang 14 perangkap sampah jenis CDS-GPT untuk memastikan sampah tidak sampai ke sungai besar. Pada tahun depan, kita akan tambah 10 lagi mengikut peruntukan.

“Untuk memastikan keberkesanan penjagaan sungai, ia memerlukan keterlibatan pelbagai pihak yang dilakukan secara bersepadu,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB, di sini hari ini.

Kelmarin, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi meminta Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkenaan untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa  bertindak bagi menangani isu sungai tercemar.

Mengulas lanjut,  Mohd. Noorazam berkata, antara faktor yang menyumbang terhadap pencemaran sungai ialah kedudukan sungai berhampiran kawasan industri haram, kawasan perindustrian yang tidak tersusun dan setinggan.

“Untuk melaksanakan Rancangan Kawasan Khas (RKK) di kawasan sungai ini, semua pihak perlu main peranan dan hasilnya bukan dapat dilihat dalam kadar segera.

“Perancangan itu perlu dibuat secara rapi dan akan memakan masa sehingga 10 tahun untuk dapat keputusan yang dirancang bagi tujuan pembersihan sungai, penyusunan semula kawasan dan ‘urban renewal’,” katanya. – UTUSAN 

Keratan Akhbar