DATUK BANDAR JOHOR BAHRU LANCARKAN WARDEN TRAFIK MBJB

DATUK BANDAR JOHOR BAHRU LANCARKAN WARDEN TRAFIK MBJB

Isnin, 29 Ogos 2022 – Dalam usaha berterusan untuk memperkasa keselamatan warga bandar raya Johor Bahru serta kelancaran trafik di bandar raya ini, MBJB telah melantik seramai 145 orang pegawai dan anggota sebagai Warden Lalu Lintas bagi menjalankan kuasa yang diberikan oleh Subseksyen 3(4B) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Majlis Pelancaran Warden Trafik MBJB ini telah disempurnakan oleh YB Dato’ Haji Mohd. Noorazam bin Dato’ Haji Osman, sejurus selesai Mesyuarat Penuh MBJB Bil. 8/2022 di Menara MBJB pagi tadi.

Seiring dengan pembangunan dan kemajuan infrastruktur, terdapat peningkatan ketara jumlah kenderaan di atas jalan khususnya di Johor Bahru ini yang merupakan pintu gerbang selatan negara. Oleh yang demikian, perancangan dengan lebih terperinci dan teliti bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan kelancaran trafik adalah diperlukan dari MBJB.

Untuk makluman warga bandar raya, antara aspek dan elemen yang dititikberatkan kepada Warden Trafik semasa menjalankan tugasan ialah penggunaan teknologi secara menyeluruh iaitu 'Smart Traffic Warden'. Warden Trafik MBJB juga telah dibekalkan kamera badan bagi merekod kesalahan pengguna jalan raya selain menjadi bukti sekiranya terdapat provokasi dan ancaman keselamatan.

Selain itu, peranti handheld bagi pengeluaran kompaun telah pun diintegrasikan dengan sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mengesahkan maklumat berkaitan pemilik kenderaan di lapangan selain dilengkapi dengan GPS tracker bagi memperkasa tugas anggota Warden Trafik MBJB.

img
img

Tambahan lagi, kewujudan Warden Trafik MBJB juga adalah bagi membantu penugasan polis trafik dalam menjalankan penguatkuasaan lalulintas dengan beberapa seksyen perundangan yang diperturunkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.