Premis Perniagaan di JB cop parkir berdepan kompaun RM 500

Johor Bahru: Pemilik premis yang 'cop' parkir untuk kegunaan peribadi dengan meletakkan baldi, kerusi dan alat pemadam api di tempat letak kereta berkupon sekitar bandaraya ini, bakal berdepan kompaun sebanyak RM500.Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, tindakan itu dibuat mengikut undang-undang kerana menimbulkan halangan di bawah Seksyen 46 Akta 133 Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.Katanya, ia juga sebagai usaha Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) untuk mengatasi kesesakan dan isu tempat letak kereta.

"MBJB sedia maklum mengenai isu 'cop' parkir terutama membabitkan pengusaha spa, refleksologi, kedai aksesori kereta, restoran dan beberapa premis lain."Sepatutnya semua premis yang hendak menempah petak parkir berkupon boleh memohon terus kepada MBJB dengan bayaran RM150 sebulan, tetapi tidak ramai pengusaha premis yang memohon.

"Kalau letak kerusi atau upah orang untuk jaga parkir berkupon di depan premis, dari sudut perundangan sebenarnya tidak boleh dan salah terutama dalam tempoh kupon," katanya ketika ditemui pada sidang media selepas Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB di sini, hari ini.Mohd Noorazam berkata, isu berkenaan juga boleh menimbulkan ketegangan antara pemilik premis dan orang awam yang ingin parkir kereta."Kita kesan memang ramai yang degil (cop parkir). Pengguna berhak meletakkan kereta yang mana sahaja sekiranya terdapat petak kereta yang kosong.

"Dari sudut itu pengguna boleh menghubungi penguat kuasa dan ambil tindakan, kita juga kerap buat rondaan dan operasi bersepadu dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta PDRM.

"Kita juga sedang menambah baik prosedur sebelum tindakan menarik kenderaan dibuat, dengan membunyikan siren, memberitahu menggunakan pembesar suara dan menunggu beberapa minit sebelum kenderaan yang diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya ditarik," katanya.Menurutnya, selain isu 'cop' parkir, isu ulat parkir di kawasan bandar raya terutama Bazar Karat seperti di Jalan Ibrahim atau Wong Ah Fook juga semakin banyak dikesan.Katanya, orang awam boleh terus membuat aduan dan laporan kepada MBJB menerusi talian hotline 1-300-88-0146 atau unit aduan 019-7788212 (WhatsApp) agar penguatkuasaan dapat dilaksana jika mengesan aktiviti itu.

cop parkir