Sistem AI CCTV MBJB merupakan salah satu inisiatif strategik di bawah pembangunan bandar pintar Johor Bahru yang menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence, AI), IoT, Big Data Analytics dan pemantauan secara terus /real time monitoring bagi memperkukuh pengurusan bandar secara digital, cekap dan bersepadu.
Berbeza dengan sistem CCTV konvensional yang hanya berfungsi sebagai alat rakaman visual, AI CCTV mampu menganalisis rakaman video secara automatik, mengenal pasti kejadian, mengesan corak pergerakan serta menghasilkan amaran awal kepada pusat kawalan. Teknologi ini membolehkan MBJB mengambil tindakan yang lebih pantas, tepat dan proaktif terhadap pelbagai isu bandar.
Semua data yang diperoleh daripada rangkaian AI CCTV disepadukan ke Johor Bahru Integrated Operations Control Centre (JBIOCC) yang berfungsi sebagai pusat kawalan operasi bandar. Melalui pusat kawalan ini, MBJB dapat memantau keadaan bandar secara menyeluruh, menyelaras tindak balas antara jabatan serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
