Sabtu, 18 Januari 2025 - Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Sumber Jaya Air LA21 MBJB bersama-sama pihak Biocon Sdn Bhd dan penduduk Zon Tiram telah menjayakan Program Penanaman Pokok di Anak Sungai Tiram, Kampung Oren, hari ini sebagai langkah pemeliharaan alam sekitar dan sumber air bandar raya.
Sebanyak 200 anak pokok salam (Syzgium polyanthum) serta tanah gambut yang disumbangkan oleh Biocon Sdn Bhd Pokok ditanam di sekitar anak Sungai Tiram pagi tadi.
Pokok salam ini mempunyai pelbagai kegunaan dalam masakan, perubatan tradisional, pokok hiasan, industri kosmetik dan pembersihan selain ianya membantu mengukuhkan tebing sungai dari hakisan. Selain dari aktiviti menanam pokok, penduduk yang hadir juga menyertai sesi pembuatan 'mudball' yang kemudiannya dilepaskan di anak Sungai Tiram.
Hadir merasmikan program ialah Tuan Haji Mohd Farid bin Hassan, Setiausaha MBJB, selaku wakil rasmi Datuk Bandar Johor Bahru. Dalam ucapannya, beliau menghargai komitmen dan kerjasama baik dari Encik Fauzi bin Faizal, Ahli Majlis Zon Tiram merangkap Pengerusi JK Alam Sekitar dan Sumber Jaya Air LA21 MBJB, rakan strategik program, agensi-agensi kerajaaan, agensi bukan kerajaan, wakil-wakil masyarakat serta penduduk Kampung Oren yang menjayakan program pada hari ini.
Dalam pada itu, MBJB telah mengeluarkan bajet sejumlah RM890,000 pada tahun 2023 bagi melaksanakan projek pelebaran, membersihkan dan menaiktaraf anak Sungai Tiram yang siap sepenuhnya pada Ogos 2024.