Pelaksanaan Lesen Perniagaan dan Iklan Secara 'Date To Date Basis'

PELAKSANAAN LESEN PERNIAGAAN & IKLAN SECARA 'DATE TO DATE BASIS'
 
Isnin, 3 Julai 2023 | YB Dato' Haji Mohd Noorazam bin Dato' Haji Osman, Datuk Bandar Johor Bahru, melancarkan pelaksanaan lesen perniagaan dan iklan dengan tempoh lesen tahunan secara ‘date to date basis’ sejurus Mesyuarat Penuh Bil. 6/2023 tamat di Dewan Inai Merah, Menara MBJB hari ini.
Langkah penambahbaikan ini diambil bagi menggalakkan pemohon lesen baharu membuat permohonan lesen sepanjang tahun berbanding menunggu hujung tahun kerana ingin memiliki lesen tahun berikutnya selain mengurangkan kos membayar lesen bagi tahun semasa.
Kini, semua permohonan baharu lesen perniagaan & iklan yang diluluskan akan memiliki lesen tahunan dengan tempoh sah 1 tahun dari tarikh lesen diluluskan. Ini bermakna, pembaharuan lesen perniagaan & iklan adalah selewatnya 30 hari sebelum tarikh sah lesen perniagaan & iklan tersebut tamat dan tidak lagi terikat pada tarikh 31 Disember tahun semasa seperti yang dilaksanakan sebelum ini
"Pelaksanaan tempoh lesen secara ‘date to date basis’ ini akan memudahkan para pelesen untuk memperbaharui lesen mereka serta mengurangkan kesesakan di kaunter MBJB terutamanya pada penghujung tahun", kata Datuk Bandar dalam ucapannya semasa mesyuarat penuh hari ini.
Tambah beliau, "bagi tempoh sesuatu lesen perniagaan & iklan yang dikeluarkan, pemilik kini boleh memilih tempoh pembaharuan maksima sehingga tiga (3) tahun. Namun, pembaharuan tempoh lesen melebihi satu (1) tahun ini hanyalah terpakai bagi akaun lesen perniagaan & iklan yang telah memenuhi semua syarat lesen serta berkelayakan memiliki lesen kekal (tempoh 1 tahun)."
Warga bandar raya yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pelaksanaan lesen perniagaan secara 'date to date basis' ini boleh melayari laman web MBJB atau hubungi Jabatan Pelesenan MBJB di talian 07-2198295 / 8297.

pelesenan