29 Ogos 2025 I Dewan Inai Merah, Menara MBJB
Mesyuarat Penuh Majlis Bandaraya Johor Bahru Bil. 8/2025 telah berlangsung pagi ini di Dewan Inai Merah, Menara MBJB, dipengerusikan oleh YB Dato’ Haji Mohd Haffiz bin Haji Ahmad, Datuk Bandar Johor Bahru.
Sebagai pembuka bicara, Datuk Bandar mengucapkan bahawa MBJB bersama-sama seluruh agensi Kerajaan Negeri Johor telah merancakkan lagi kempen perangi buli di sekolah-sekolah di negeri ini selaras dengan menjunjung titah DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, dan juga dengan pendirian yang jelas untuk menolak dan memerangi gejala tersebut dan diingatkan bahawa buli adalah budaya negatif yang mesti dihentikan serta-merta.
Datuk Bandar juga memaklumkan bahawa MBJB telah melaksanakan Taskforce Pemutihan pada 18 hingga 20 Ogos 2025 di kawasan Taman Perindustrian Cemerlang. Pelaksanaan ini bertujuan memberi peluang kepada pemilik harta untuk mendapatkan maklumat tepat berkaitan perkhidmatan MBJB seperti cukai harta, pelesenan dan kelulusan pelan bangunan. Inisiatif ini turut berperanan mendidik warga bandar raya, khususnya pemilik harta, agar sentiasa mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan.
Sempena sambutan Deepavali yang akan diraikan pada 20 Oktober 2025, Datuk Bandar memaklumkan bahawa MBJB telah meluluskan empat lokasi penganjuran bazar di Jalan Segget, Jalan Ungku Puan, Jalan Trus serta laluan pejalan kaki Jalan Ungku Puan dan Jalan Trus. Satu lagi lokasi tambahan turut diluluskan di Jalan Titiwangsa, Tampoi. Maklumat lanjut berkaitan lokasi dan bilangan petak bazar boleh diperoleh melalui Jabatan Pelesenan MBJB.
Datuk Bandar turut menekankan bahawa dalam usaha kita bersama menjadikan Johor Bahru sebagai bandar raya yang selamat, teratur dan sejahtera, pelbagai operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan sepanjang enam bulan pertama tahun ini. Datuk Bandar menegaskan bahawa keselamatan dan ketenteraman awam bukanlah hadir secara automatik, sebaliknya hasil daripada usaha, ketegasan dan kerjasama semua pihak. Jabatan Penguatkuasaan MBJB telah berganding bahu dengan PDRM, Jabatan Imigresen, SWCorp dan agensi lain dalam memastikan keamanan ini dapat dicapai. Oleh itu, menyeru warga bandar raya agar sentiasa mematuhi undang-undang, mengelakkan sikap sambil lewa terhadap peraturan serta segera melaporkan sebarang aktiviti menyalahi undang-undang yang boleh menjejaskan keselamatan komuniti.
Alhamdulillah, bulan Ogos dan September kembali membawa makna yang besar kepada kita semua sebagai rakyat Malaysia. Datuk Bandar juga mengingatkan agar semua pihak sama ada agensi kerajaan, swasta, premis perniagaan mahupun individu mengibarkan Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Johor dengan penuh rasa hormat, kemas dan mengikut tatacara yang betul. Jangan sesekali mengibarkan bendera yang lusuh, koyak atau terbalik kerana ia boleh mencemarkan imej dan maruah negara. Marilah kita sama-sama memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-68 dan Hari Malaysia dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Johor secara teratur, penuh semangat patriotik serta jiwa kebersamaan.
Mengakhiri ucapannya, YB Dato’ memaklumkan bahawa sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68, MBJB masih meneruskan promosi pengurangan kompaun lalu lintas dan tempat letak kereta sebanyak 80 peratus. Dengan mengambil semangat Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang bakal tiba, promosi ini dilanjutkan sehingga 16 September 2025 sebagai penghargaan kepada warga bandar raya Johor Bahru.