Langkau ke kandungan utama

Mesyuarat Penuh MBJB Bil 10/2025

03 November 2025 I Dewan Inai Merah, Menara MBJB
 
Mesyuarat Penuh Majlis Bandaraya Johor Bahru Bil. 10/2025 telah berlangsung pagi ini di Dewan Inai Merah, Menara MBJB, dipengerusikan oleh YB Dato’ Haji Mohd Haffiz bin Haji Ahmad, Datuk Bandar Johor Bahru.
 
Datuk Bandar Johor Bahru memulakan ucapan dengan merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh warga kerja Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Ahli Majlis serta jabatan-jabatan yang terlibat atas kejayaan MBJB melakar satu lagi sejarah membanggakan apabila diiktiraf sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama dan tunggal yang berjaya memperoleh pengiktirafan Bandar Raya Pintar Tahap 3 (Leading Smart City) oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Penarafan Bandar Pintar Malaysia.
 
Kejayaan ini membuktikan bahawa MBJB komited dan serius dalam usaha mewujudkan sebuah bandar raya yang menggunakan teknologi serta kecerdasan buatan (artificial intelligence) bagi meningkatkan kecekapan pengurusan bandar dan kualiti hidup warga bandar raya Johor Bahru. Pencapaian ini juga selari dengan hasrat Kerajaan Negeri Johor untuk mencapai status Negeri Pintar dan Mampan menjelang tahun 2030.
 
MBJB turut menjalinkan kerjasama strategik bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai dalam pelaksanaan projek Smart Bus Stop MBJB, khususnya dalam penerapan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) sebagai salah satu langkah ke arah bandar raya berdaya huni dan mesra teknologi. Dalam masa yang sama, MBJB telah dan sedang giat melaksanakan beberapa inisiatif penting yang menyentuh aspek mobiliti pintar dan keselamatan bandar. Antara inisiatif tersebut ialah cadangan pelaksanaan Autonomous Bus, sebagai persediaan untuk memenuhi kriteria penarafan Bandar Pintar Tahap 4: Visionary Smart City.
 
Datuk Bandar turut menzahirkan rasa bangga dengan kejayaan MBJB menerima Pengiktirafan 5 Bintang bagi Audit Teknikal PBT Cemerlang (PBAT) Perkhidmatan Kesihatan Persekitaran serta Tempat Pertama bagi Pengurusan Haiwan Terbiar KPKT 2025, yang telah disampaikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia. Kejayaan ini adalah hasil daripada perancangan rapi, kerjasama erat dan komitmen tinggi antara Jabatan Kesihatan MBJB, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Iskandar Malaysia Social Hero Foundation serta komuniti setempat. Usaha berterusan dalam pengurusan haiwan terbiar ini membuktikan keprihatinan MBJB terhadap kebajikan haiwan dan kesejahteraan bandar melalui pendekatan yang holistik serta berperikemanusiaan.
 
Datuk Bandar turut menyentuh mengenai pelancaran Rancangan Tempatan Johor Bahru (RTJB) 2035 yang telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor. RTJB 2035 ini menggantikan sepenuhnya Rancangan Tempatan Daerah Johor Bahru dan Kulai 2025 (Penggantian) yang akan tamat tempoh pada penghujung tahun ini. Dengan tagline ‘Liveability in Diverse City’, RTJB 2035 memberi tumpuan kepada usaha menjadikan Johor Bahru sebuah bandar raya berdaya huni yang menyeimbangkan aspek fizikal, sosial dan ekonomi agar warganya dapat menikmati kualiti hidup yang tinggi dalam suasana bandar yang harmoni dan inklusif.
 
Sebelum mengakhiri ucapan, Datuk Bandar turut memaklumkan bahawa sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-32 Bandaraya Johor Bahru, MBJB melaksanakan promosi diskaun 80% bagi kompaun lalu lintas dan tempat letak kereta sebagai tanda penghargaan kepada warga bandar raya Johor Bahru. Beliau juga mengalu-alukan penyertaan orang ramai dalam acara Lestari Fun Run 2025 yang akan diadakan pada 29 November 2025 di Dataran Bandaraya Johor Bahru sempena JB Neon Recreational Night. Selain itu, MBJB dengan kerjasama OCBC Malaysia turut akan menganjurkan OCBC Cycle Johor Bahru buat julung kalinya pada 14 Disember 2025.
 
Kini kita telah berada di fasa penghujung tahun 2025. Datuk Bandar Johor Bahru berharap segala perancangan yang telah digariskan sejak awal tahun dapat berjalan dengan lancar serta disempurnakan sebelum berakhirnya tahun ini. Semoga setiap usaha yang digembleng akan terus memberi manfaat dan mencapai sasaran dalam merealisasikan hasrat untuk mensejahterakan warga bandar raya Johor Bahru.
Image
Mesyuarat Penuh Bil 10 2025
Image
Mesyuarat Penuh Bil 10 2025
Image
Mesyuarat Penuh Bil 10 2025
Image
Mesyuarat Penuh Bil 10 2025