Langkau ke kandungan utama

Mesyuarat Penuh Bil 7/2025

30 Julai 2025 | Dewan Inai Merah, Menara MBJB
 
Syukur ke hadrat Ilahi, Mesyuarat Penuh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Bil. 7/2025 telah berlangsung dengan jayanya dan dipengerusikan oleh YB Dato’ Haji Mohd Haffiz bin Haji Ahmad, Datuk Bandar Johor Bahru.
 
Dalam ucapan beliau, YB Dato’ telah merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Jabatan Kesihatan MBJB dan Jabatan Khidmat Pengurusan MBJB atas kejayaan cemerlang memperoleh 5 bintang dalam Penarafan Bintang Audit Teknikal (PBAT) Kesihatan Persekitaran. Kejayaan ini membuktikan komitmen tinggi dalam penyampaian perkhidmatan berkualiti dan pematuhan terhadap standard kesihatan yang ditetapkan.
 
Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada Unit GIS MBJB serta semua yang terlibat dalam kejayaan Portal GeoJB, yang kini diiktiraf di peringkat antarabangsa melalui pembentangan dashboard data denggi dan penggredan premis makanan di ESRI User Conference di San Diego, California.
 
Dalam aspek kebajikan haiwan, YB Dato’ menekankan kepentingan pendekatan pengurusan haiwan terbiar secara berperikemanusiaan dan bersepadu, hasil kerjasama MBJB bersama NGO seperti Iskandar Malaysia Social Hero Foundation dan Vet Partners Malaysia. Program ini telah dimulakan melalui Kempen Pengurusan Haiwan Terbiar yang julung kali diadakan pada 22 Julai 2025 di Plentong.
 
YB Dato’ juga memaklumkan bahawa MBJB telah memperuntukkan RM100,000.00 bagi Program Cabutan Bertuah Cukai Harta MBJB Tahun 2024 sebagai galakan kepada pembayar cukai dan usaha berterusan mengurangkan tunggakan. Sebanyak 126 pemenang telah dipilih dalam sesi cabutan yang berlangsung Disember lalu.
 
Dalam usaha menambahbaik tahap kebersihan premis perniagaan, beliau turut mengumumkan bahawa penetapan tahap kebersihan tandas “Bersih, Menawan dan Wangi (BMW)” akan dijadikan sebagai salah satu syarat lesen perniagaan mengikut garis panduan kebersihan tandas awam yang dikeluarkan di peringkat nasional.
 
Selain itu, permohonan lesen baharu bagi pusat cuci kereta/kenderaan kini dibuka semula dengan serta-merta, selaras dengan keperluan dan permintaan semasa perniagaan setempat.
 
Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 dan Hari Malaysia 2025, YB Dato’ mengumumkan promosi pengurangan kompaun sebanyak 80% bagi kesalahan lalu lintas dan parkir MBJB, bermula 15 Ogos hingga 31 Ogos 2025 sebagai insentif khas kepada warga Johor Bahru.
 
Di akhir ucapannya, YB Dato’ Haji Mohd Haffiz bin Haji Ahmad menyeru orang ramai untuk sama-sama menghayati semangat kemerdekaan dan memeriahkan pelbagai program sambutan bulan kemerdekaan yang akan dilaksanakan oleh pihak MBJB sepanjang Ogos ini.
Image
Mesyuarat Penuh MBJB
 
Image
Mesyuarat Penuh MBJB