MBJB TERIMA KUNJUNGAN MENTERI LUAR NEGERI

JOHOR BAHRU, 3 Mac 2022 - YB Dato' Sri Saifuddin bin Abdullah, Menteri Luar Negeri, hari ini telah mengadakan lawatan ke Menara MBJB. Kehadiran beliau telah disambut oleh YB Dato' Haji Mohd. Noorazam bin Dato' Haji Osman, Datuk Bandar Johor Bahru, bersama-sama para pegawai pengurusan MBJB.

Perbincangan di antara Kementerian Luar Negeri dan MBJB telah menyentuh pelbagai aspek hal-ehwal antarabangsa dan jalinan kerjasama di antara kedua-dua pihak khususnya dalam Matlamat Pembangunan Mampan (Social Development Goals) dan kesinambungan dengan dasar domestik sedia ada, Pelan Tindakan Masyarakat Rendah Karbon selain peranan yang dimainkan oleh Wisma Putra dalam mewar-warkan pelaksanaan pembangunan mampan Johor Bahru di persada antarabangsa.

YB Menteri Luar turut diberikan penerangan secara dasar berkaitan aspirasi 'The Greater Johor Bahru' oleh Datuk Bandar yang akan menjadi tunggak kepada pembangunan ekonomi Negeri Johor.

Sesi perbincangan ini adalah selari dengan pendekatan keseluruhan kerajaan (Whole-of-Government) dan masyarakat (Whole-of-Society) yang sentiasa diberikan penekanan oleh kerajaan.

Turut sama hadir adalah YBrs. Ambassador Shahril Effendi Abd Ghani, Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Dasar dan Penyelarasan (JPDP) Kementerian Luar Negeri, Encik Nazarudin Ja'afar, Timbalan Ketua Pengarah JPDP serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Luar Negeri.

img

img

img