Langkau ke kandungan utama

MBJB Perkukuh Pengurusan Haiwan Terbiar Menerusi Program Kembiri Anjing Liar Penutup Tahun 2026

Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) terus memperkukuh komitmen dalam pengurusan populasi haiwan terbiar secara sistematik, berperikemanusiaan dan lestari menerusi penganjuran Program Kembiri Anjing Liar bagi menutup siri pelaksanaan program tahun 2026 dengan kerjasama strategik Social Hero Foundation.

Sebanyak 200 ekor anjing liar berjaya dikembirikan menerusi program kali ini dengan penglibatan 14 doktor veterinar, 13 jururawat veterinar dan 8 sukarelawan. Program turut dihadiri oleh Datuk Seri Teo Shiok Fu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Social Hero Foundation serta Dr. Aslinda Salikin, Pengarah Kesihatan, Jabatan Kesihatan MBJB.

Pelaksanaan program ini merupakan kesinambungan daripada lima program terdahulu yang telah dilaksanakan sepanjang tahun 2024 dan 2025, selaras dengan Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara MBJB dan Social Hero Foundation pada 2 Oktober 2024.

Inisiatif ini memberi penekanan kepada kawalan populasi anjing liar secara berkesan, memperkukuh jaringan kerjasama bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pengamal veterinar serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemandulan haiwan. Anjing yang telah dikembirikan akan diserahkan kepada NGO berkaitan untuk tujuan penjagaan dan pemeliharaan.

Usaha ini turut melengkapi langkah pengurusan haiwan terbiar yang dilaksanakan MBJB melalui operasi penangkapan, program pengambilan haiwan angkat dan penyerahan haiwan secara sukarela oleh pemilik, sekali gus membantu mengurangkan risiko penularan penyakit zoonotik, khususnya rabies, demi kesejahteraan dan keselamatan awam.

MBJB komited untuk meneruskan serta memperluas pelaksanaan program kembiri anjing dan kucing terbiar sebagai sebahagian daripada pendekatan pengurusan bandar yang lebih mampan, selamat dan sejahtera.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih dirakamkan kepada Social Hero Foundation, barisan doktor dan jururawat veterinar, para sukarelawan serta semua petugas yang telah menjayakan program ini.

Bersama Membina Bandar Raya Sejahtera, Demi Kesejahteraan Komuniti dan Kebajikan Haiwan.

Image
program kembiri anjing liar penutup tahun 2026
Image
program kembiri anjing liar penutup tahun 2026