30 Jun 2025 | Menara MBJB
Image

Image

Image

Image

Pertandingan Pendidikan Kelestarian LA21 Majlis Bandaraya Johor Bahru Tahun 2024 telah melabuhkan tirainya menerusi Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan di Menara MBJB hari ini. Majlis penutup yang berlangsung ini bukan sekadar satu simbolik penyampaian hadiah, tetapi turut menjadi manifestasi komitmen MBJB dalam mendidik dan memupuk kesedaran kelestarian dalam kalangan warga sekolah dan komuniti.
Majlis ini diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat dari pelbagai agensi dan institusi yang menjadi rakan strategik pintar dalam menjayakan agenda kelestarian di peringkat bandar raya Johor Bahru. Hadir mewakili Datuk Bandar Johor Bahru ialah Ir. Hajah Nazatul Shima binti Mohamad,Timbalan Setiausaha MBJB diiringi oleh YBhg. Datuk Haji A. Aziz bin Ahmad, Ketua Whip MBJB, serta barisan Ahli Majlis yang sentiasa menyokong usaha kelestarian bandar. Turut hadir ialah YBhg. Datuk Yahya bin Jaafar, Pengerusi PIBKS Negeri Johor & Kebangsaan, Tuan Haji Mohd Hanafi bin Samad, Pengarah Pendidikan Negeri Johor yang sentiasa menjadi rakan strategik dalam membudayakan pendidikan lestari di sekolah.
MBJB amat menghargai kolaborasi pelbagai pihak seperti Universiti Teknologi Malaysia yang diwakili oleh Dr. Farah Wahidah binti Abd. Rahman serta SWM Environment Sdn. Bhd. yang diwakili Encik Fadzly bin Ahmaddun, yang memainkan peranan penting dalam aspek pemantauan, kajian dan sokongan teknikal.
Peranan penyelaras utama melalui Jawatankuasa Kitar Semula LA21 MBJB yang diketuai oleh En. G. Jayasilan A/L Gopal turut diiktiraf atas dedikasi dan bimbingan kepada semua sekolah terlibat sepanjang program ini berlangsung.
Kehadiran para pengetua, guru-guru, pelajar, warga pendidik dan komuniti dalam majlis ini menggambarkan kesatuan tekad dan semangat kolektif dalam membina bandar raya Johor Bahru yang lebih hijau, sejahtera dan mampan.
Tahun ini menyaksikan penyertaan memberangsangkan daripada 123 buah sekolah rendah dan menengah, yang bukan sahaja menyampaikan mesej kesedaran, malah membuktikan bahawa generasi muda mampu menjadi ejen perubahan dalam usaha memelihara alam sekitar.
MBJB merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada para pemenang yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam pelbagai inisiatif kelestarian. Tidak dilupakan juga penghargaan kepada semua sekolah yang mengambil bahagian – kerana tanpa penyertaan dan semangat anda, kejayaan program ini tidak mungkin tercapai.
Moga usaha kecil hari ini terus membuahkan hasil yang besar untuk esok. Teruskan menyemai budaya hijau di sekolah, di rumah dan di mana sahaja kita berada. Kerana kelestarian bukan sekadar matlamat, tetapi satu cara hidup yang harus disemai bersama.