24 September 2026 | Menara MBJB
Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan telah menganjurkan Latihan Dalam Perkhidmatan Polis Bantuan PTKPN H602: Pemantapan Integriti, Etika Profesional dan Pencegahan Salah Guna Kuasa serta Pengukuhan Imej Polis Bantuan.
Latihan yang disertai seramai 80 orang wakil Polis Bantuan daripada pelbagai agensi di bawah pentadbiran IPD Johor Bahru Selatan dan MBJB ini bertujuan memperkukuh kefahaman serta penghayatan terhadap aspek integriti, etika profesional, pencegahan salah guna kuasa dan profesionalisme dalam pelaksanaan tugas.
Sesi ceramah telah disampaikan oleh Insp. Samsol Faizal bin Ibrahim dan Insp. Radhiah binti Ahmad, dengan penekanan terhadap pembentukan anggota Polis Bantuan yang berintegriti, beretika dan profesional.
Majlis penutupan telah disempurnakan oleh YDH Asisten Komisioner Polis Azrul Hisyam bin Mohd. Shaffei, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, diiringi Puan Ir. Hajah Nazatul Shima binti Mohamad, Timbalan Setiausaha MBJB, selaku wakil rasmi Datuk Bandar Johor Bahru. Turut hadir YDH Superintenden Ng Swie Chait, Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Ketua-Ketua Jabatan MBJB serta pegawai-pegawai berkaitan.
Program turut disusuli dengan lawatan ke Johor Bahru Integrated Operations Centre (JBIOCC) bagi memberi pendedahan mengenai pengurusan operasi bersepadu serta penggunaan teknologi dalam menyokong pemantauan, keselamatan dan penguatkuasaan bandar. Pihak IPD Johor Bahru Selatan turut merakamkan penghargaan kepada MBJB atas kerjasama dan sokongan, khususnya menerusi perkongsian maklumat serta sokongan operasi bersepadu melalui JBIOCC dalam membantu usaha menangani isu jenayah.
Penganjuran program ini diharap dapat terus memperkukuh kerjasama, koordinasi dan jaringan keselamatan antara agensi, sekali gus meningkatkan profesionalisme serta integriti warga Polis Bantuan demi pemeliharaan ketenteraman awam dan keselamatan masyarakat di Johor Bahru.
Image
Image
Image
Image