9 Oktober 2025 | Bangi Avenue Convention Centre, Selangor
Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) terus mengukuhkan reputasi sebagai Pihak Berkuasa Tempatan terunggul di peringkat kebangsaan apabila berjaya meraih Penarafan 5 Bintang (Kategori Bandaraya) dalam Audit Teknikal PBT Cemerlang 2025 (PBAT) bagi Perkhidmatan Kesihatan Persekitaran, serta dinobatkan Johan Pengurusan Haiwan Terbiar KPKT 2025.
Anugerah berprestij ini telah disampaikan oleh YB Tuan Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, kepada Puan Ir. Hajah Nazatul Shima binti Mohamad, Timbalan Setiausaha MBJB, yang mewakili Datuk Bandar Johor Bahru dalam majlis gilang gemilang tersebut.
Kejayaan ini menjadi lambang komitmen utuh seluruh warga kerja MBJB dalam memperkukuh mutu penyampaian perkhidmatan bandaraya yang efisien, berdaya saing dan berimpak tinggi, seiring dengan visi untuk menjadikan Johor Bahru sebagai bandaraya sejahtera, lestari dan bertaraf dunia.
Syabas dan tahniah kepada seluruh warga MBJB atas dedikasi, profesionalisme serta semangat kerja berpasukan yang menjadi nadi kepada kecemerlangan ini.