Langkau ke kandungan utama

Konvensyen Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Johor 2025

02 Disember 2025 | Menara MBJB
Konvensyen berprestij ini menghimpunkan kepimpinan akar umbi daripada 16 Pihak Berkuasa Tempatan seluruh negeri Johor, dirasmikan oleh YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor. Majlis turut diserikan dengan kehadiran YB Dato’ Haji Mohd Haffiz bin Haji Ahmad, Datuk Bandar Johor Bahru, YBhg Tuan Haji Hasrin Kamal bin Hashim, Datuk Bandar Iskandar Puteri dan YB Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Datuk Bandar Pasir Gudang, sekali gus memperlihatkan kekuatan kesepakatan kepimpinan tempatan.
 
Sebagai platform tahunan, konvensyen ini terus berperanan sebagai medan perbincangan strategik dalam membentuk hala tuju baharu, memperkukuh iltizam dan menyepadukan agenda pembangunan seluruh PBT agar penyampaian perkhidmatan awam lebih cekap, responsif serta mengutamakan kesejahteraan rakyat. Kehadiran Ketua Whip dan Ahli Majlis, Yang Dipertua PBT, Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor serta Setiausaha semua PBT mengangkat martabat konvensyen ini sebagai sebuah himpunan besar pemikir dan pelaksana dasar yang berpengaruh di peringkat tempatan.
 
Konvensyen ini turut menegaskan peranan Ahli Majlis sebagai wajah pertama kerajaan di lapangan, barisan pemimpin yang membawa suara rakyat ke meja dasar dan memastikan setiap keputusan kerajaan benar-benar diterjemahkan dalam bentuk tindakan. Pengenalan KPI Turun Padang, pengukuhan Pusat Aduan Bersepadu Negeri Johor serta penyelarasan elaun Ahli Majlis adalah manifestasi komitmen kerajaan dalam memperkasakan peranan ini, selari dengan amanah dan beban tanggungjawab yang semakin besar.
 
Dengan tekad yang sama, Johor berada di landasan kukuh untuk terus melakar kecemerlangan dalam tadbir urus bandar raya. Konvensyen ini membuktikan bahawa apabila seluruh PBT bergerak dalam satu arah, kecemerlangan bukan sekadar aspirasi tetapi satu realiti yang akan terus diperkasakan demi masa depan Johor yang lebih maju, inklusif dan berpaksikan rakyat.
Image
Konvensyen Ahli Majlis
Image
Konvensyen Ahli Majlis
Image
Konvensyen Ahli Majlis
Image
Konvensyen Ahli Majlis