Langkau ke kandungan utama

KDYMM Sultan Ibrahim Kurnia Sumbangan Peribadi Kepada 41 Keluarga Mangsa Kebakaran Kampung Teluk Jawa

Keprihatinan KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, terhadap rakyat yang ditimpa musibah terus dizahirkan menerusi kurniaan bantuan segera kepada mangsa kebakaran di Kampung Teluk Jawa.
 
Seramai 41 keluarga yang terjejas menerima sumbangan peribadi berupa wang tunai sebanyak RM2,000 setiap keluarga melalui Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dalam sesi penyampaian sumbangan yang diadakan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Muafakat Taman Megah Ria.
 
Sumbangan telah disampaikan oleh YB Dato’ Avinderjit Singh selaku Pemegang Amanah Urusan YSIJ yang turut menyelaras penyampaian bantuan bagi memastikan ia sampai terus kepada setiap keluarga yang terjejas. Selain bantuan tunai, YSIJ turut menyampaikan ‘Kit Bencana’ yang merangkumi barangan keperluan asas seperti cerek dan periuk nasi elektrik, tilam lipat, t-shirt, telekung serta air mineral bagi membantu meringankan beban mangsa.
 
Dalam sesi penyampaian tersebut, YB Dato' Haji Mohd Haffiz bin Haji Ahmad, Datuk Bandar Johor Bahru, turut hadir melawat PPS bagi meninjau sendiri keadaan mangsa serta memastikan segala keperluan di pusat pemindahan diselaraskan dengan baik bersama agensi terlibat. Turut hadir ialah Encik Masni Wakiman, Pegawai Daerah Johor Bahru serta YB Liow Cai Tung, ADUN Johor Jaya.
 
Kebakaran yang berlaku pada 12 Februari kira-kira jam 7.04 pagi itu memusnahkan 30 daripada 42 rumah perkampungan Orang Asli yang didirikan di atas air, menyebabkan puluhan keluarga kehilangan tempat tinggal.
 
Semoga semua mangsa diberikan ketabahan dan dipermudahkan segala urusan pemulihan.
Image
Kurniaan Bantuan Segera
Image
Kurniaan Bantuan Segera
Image
Kurniaan Bantuan Segera
Image
Kurniaan Bantuan Segera