Tapak Penjara Ayer Molek dijadikan tempat letak kereta awam

JOHOR BAHRU: Tapak Penjara Ayer Molek, di sini yang ditutup sejak 2005 akan dijadikan kawasan tempat letak kenderaan awam bagi mengatasi isu kekurangan parkir di pusat bandar raya ini.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman berkata, kawasan tersebut telah dibersihkan dan akan dimanfaatkan sebagai parkir sempena Minggu Iklim Asia Pasifik (APCW) 2023 pada pertengahan bulan depan sebagai permulaannya.

“Tapak penjara lama yang berusia 122 tahun itu sudah dibersihkan untuk dijadikan parkir kenderaan bagi APCW yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.

“Kita tahu tempat parkir dalam  bandar raya ini merupakan satu masalah. Justeru, sempena APCW, MBJB akan menyediakan bas pengantara dari tapak penjara ke Persada buat mereka yang hadir ke program bertaraf antarabangsa itu,” katanya ketika ditemui di sini.

APCW 2023 akan berlangsung pada 13 hingga 17 November ini dan dijangka mengumpulkan lebih 2,000 delegasi dari 150 negara.

Johor menjadi salah satu tuan rumah daripada empat  persidangan iklim serantau yang diadakan tahun ini bagi membina momentum menjelang Persidangan Perubahan Iklim PBB (COP28) di Dubai pada hujung November.

Sempena penganjuran APCW 2023, MBJB turut merangka pelbagai program, antaranya APCW 2023 Fun Run 5KM, JB Car Free Morning serta Karnival Seni dan Budaya. – UTUSAN ONLINE

Keratan Akhbar