MBJB arahkan aktiviti beca dihentikan.

Image
Harian Metro

JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengarahkan perkhidmatan beca yang dijalankan di sekitar bandar raya ini, yang dijalankan tanpa kelulusan pihaknya, supaya segera dihentikan.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Haffiz Ahmad berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pengusaha bagi mewujudkan perkhidmatan itu di bandar raya ini.

"Kami sedar maklumat yang tular, tindakan sudah dilakukan, ia diarahkan supaya dihentikan segera.

"Sepatutnya permohonan dilakukan terlebih dahulu bagi mendapatkan kelulusan," katanya di sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas video tular di media sosial, menunjukkan warga asing mengayuh beca di sekitar bandar raya ini.

Mohd Haffiz berkata, perkhidmatan beca adalah sesuatu yang menarik dan mampu menarik pelancong seperti di Pulau Pinang, Melaka dan di Muar, Johor.

Bagaimanapun, katanya, pelbagai aspek perlu dilihat sebelum mewujudkan perkhidmatan itu termasuk kadar bayaran.

"Beca yang digunakan juga seharusnya menarik dengan hiasan, kipas dan sebagainya bagi keselesaan pelanggan," katanya.

Jika aktiviti itu diadakan, pihaknya menggalakkan pengayuh beca terdiri daripada warga Johor.

"Jika anak Johor, sambil mengayuh individu berkenaan boleh berkongsi berkaitan tarikan dan sejarah Johor bersama pelanggan," katanya.

Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan individu dipercayai warga asing mengayuh beca dengan menawarkan caj RM60 untuk dua penumpang dan bagi tempoh 15 minit, di bandar raya ini.

Video berkenaan menerima pelbagai reaksi dalam kalangan ramai yang mempersoalkan sama ada aktiviti itu diluluskan pihak berkuasa tempatan.

Sumber : Harian Metro