Taklimat Penganjuran Bazar Ramadan dan Bazar Aidlfitri Tahun 2023

Khamis, 9 Mac 2023 – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) melalui Jabatan Pelesenan telah mengadakan satu taklimat berkaitan Penganjuran Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri Tahun 2023 bertempat di Panggung Cempaka, Aras bawah, Menara MBJB pada jam 10.00 pagi.

Hadir memberi taklimat ialah Ketua Penolong Pengarah Pelesenan, Encik Mohamad Rusydi bin Md. Dean, wakil Jabatan Kesihatan MBJB dan wakil Tetuan SW. Corp. Seramai 50 wakil penganjur telah hadir termasuk daripada Yayasan Bandaraya Johor Bahru (YBJB), penganjur kompleks membeli belah sekitar Johor Bahru, pihak persatuan serta jawatankuasa penduduk.

Panel taklimat pada kali ini adalah daripada Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Jabatan Pelesenan - En. Mohamad Farhan bin Mohamad Nora’eni, Puan Sufidahani binti Jamal daripada Jabatan Kesihatan dan Encik Rozai Rafiq bin Mohd Rohani daripada SW Corp.

Selain itu, taklimat kali ini turut menjemput Puan Sharon Christina dan Encik Saifuddin bin Samudin daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk memberikan taklimat mengenai Menu Rahmah dan Pencatutan Harga Barang. Terdapat juga slot taklimat daripada wakil Bank Islam dan Maybank bagi penggunaan kod QR dan e-Wallet sebagaimana saranan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Pejabat Kerajaan Negeri (Bahagian Kerajaan Tempatan).

Untuk makluman warga bandar raya, sebanyak 39 lokasi Bazar Ramadan, 5 lokasi Bazar Aidilfitri dan 6 lokasi bazar campuran (Ramadan & Aidilfitri) menjadikan semua 50 bazar telah diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan MBJB Bil. 1/2023 yang lalu.

Semua penganjur dan peniaga bazar Ramadan juga diharap dapat mematuhi syarat-syarat pelesenan yang ditetapkan, tidak meninggalkan peralatan atau bahan mentah di lokasi, menjaga kebersihan serta menjaga kawalan lalu lintas. Para pengunjung bazar juga dimohon untuk sama-sama memelihara kebersihan persekitaran.

#JBMampan
#JBThinkGreen

Penganjuran Bazar Ramadan & Bazar Aidilfitri 2023

Penganjuran Bazar Ramadan & Bazar Aidilfitri 2023