Program Road To Raya Majlis Bandaraya Johor Bahru 2024

JOHOR BAHRU, 31 Mac 2024 | Seperti lazimnya setiap tahun apabila tiba bulan Ramadan, pelbagai program akan dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bagi memeriahkan sambutan bulan ini seperti aktiviti bergotong royong menyediakan juadah bubur lambuk atau dodol yang akan diedarkan kepada warga bandar raya secara ‘drive-through’. Namun begitu, pada Ramadan tahun ini MBJB membawa sedikit keunikan dengan menganjurkan program ‘Road to Raya 2024’ pada 30 hingga 31 Mac 2024 di Arena Larkin, Johor Bahru bermula jam 7.30 pagi hingga 5.00 petang.

Di dalam program Road to Raya ini, MBJB bersama-sama rakan strategik telah bergotong royong memasak juadah ketupat, rendang dan sambal kacang untuk diagihkan kepada seramai 8,000 penerima dari kalangan warga bandar raya. Gotong royong hari ini telah melibatkan anggota MBJB, komuniti daripada 24 zon Ahli Majlis, PBT The Greater JB, agensi kerajaan dan swasta serta rakan-rakan strategik program. Sebanyak 50 periuk masakan disediakan dengan sekurang-kurangnya seramai 500 orang peserta telah terlibat dalam program hari ini. Edaran bungkusan juadah makanan ini adalah secara terbuka kepada semua warga bandaraya Johor Bahru dan kawasan sekitar tanpa mengira agama dan kaum bermula jam 4.00 petang di Arena MBJB Larkin.

MBJB merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan Program Road to Raya (R2R) MBJB 2024 terutama kepada rakan strategik program yang turut sama menyumbang kepada pelaksaan program seperti Farm Fresh Milk Sdn Bhd, MRT Corp, Tropicana, Ranhill SAJ, Fajar Terbina, Persatuan Perkhidmatan Bandaraya Johor Bahru (PPBJB), Damansara Assets, Yayasan Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Majlis Perbandaran Kulai dan lain-lain agensi yang terlibat secara langsung dan tidak langsung menjayakan program ini.

Menurut YB Dato’ Haji Mohd. Noorazam bin Dato’ Haji Osman, “Penglibatan syarikat-syarikat korporat dalam program komuniti yang dikendalikan oleh MBJB merupakan satu bentuk kerjasama yang baik terutama dalam menyokong kepada Local Agenda 21 dan dan usaha ke arah mencapai Sustainable Development Goal (SDG).”

Tambah beliau, “Semoga program seperti ini dapat mengeratkan lagi hubungan diantara Pihak Berkuasa Tempatan dengan masyarakat disamping memberikan kegembiraan kepada warga bandaraya khususnya. Kita berharap lebih banyak program-program komuniti seperti ini diharap dapat diteruskan pada masa-masa akan datang.”

 

Road To Raya MBJB 2024

Road To Raya MBJB 2024