MENU

JOHOR BAHRU 11 April - Majlis Penyelaras Gabungan NGO Melayu Negeri Johor (Gabung) akan mengadakan 12 siri Forum Perdana Hal Ehwal Islam di kesemua 10 daerah di negeri ini.

Penjelajahan dalam tempoh sebulan itu akan memulakan siri pertama di kawasan tempat letak kereta Larkin Sentral di sini, Jumaat ini.

Ketua Penerangan Gabung, Abdullah Md. Yusuf berkata, program anjuran bersama Kumpulan Johor Corporation (JCorp) dan bermula pukul 8 malam itu diadakan bersempena Maulidur Rasul.

Katanya, forum siri pertama tersebut bertajuk Kesatuan, Perpaduan, Pemuafakatan dan Persaudaraan Adalah Tuntutan Fardhu Ain.

"Tujuan siri jelajah Forum Perdana Hal Ehwal Islam ini adalah untuk merapatkan hubungan NGO-NGO (pertubuhan bukan kerajaan) Islam dengan masyarakat selain jalinan ukhuwah antara NGO-NGO Islam dan Gabung sendiri.

"Ia adalah antara pendekatan Gabung dalam menegakkan syiar Islam dan insya-Allah akan dijadikan acara tahunan," katanya di sini.

Menurut Abdullah, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Nooh Gadut akan menjadi panel tetap di tiga lokasi forum yang akan diadakan selepas ini iaitu di Dataran Tasik Jalan Mengkibol, Kluang (Sabtu); Dataran Penggaram Batu Pahat Club, Batu Pahat (Ahad) dan Padang Gugusan Felda Adela, Kota Tinggi (Isnin).

Katanya lagi, kemuncak kepada siri jelajah tersebut adalah perhimpunan besar-besaran yang bakal diadakan di Stadium Larkin pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

 

Sumber : Utusan Malaysian Online