Kompaun bukan keutamaan MBJB

gambar

31 OGOS 2021 :JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengambil pendekatan tidak sewenang-wenangnya mengenakan tindakan kompaun kerana enggan membebankan orang ramai yang terkesan akibat pandemik Covid-19. 

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman berkata, pihaknya memberi kelonggaran kepada peniaga dari segi lesen kerana menyedari ramai yang susah ketika ini dan MBJB tidak seharusnya menambah beban mereka.

“Tindakan kompaun bukan satu keutamaan bagi MBJB ketika ini. Memberi teguran dan nasihat adalah pilihan lebih baik kerana dalam keadaan sekarang, ramai orang susah dan kita cuba membantu mana yang boleh.

“MBJB juga ingin memudah cara contohnya mana-mana yang mahu berurusan dan membuat sebarang permohonan dengan MBJB boleh ikut norma baharu seperti mengisi borang secara dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan Jalur Gemilang dan meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Serbaguna Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang di sini. – UTUSAN ONLINE