20 Julai 2025 | Dewan Terbuka Plentong
Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menganjurkan Kempen Pengurusan Haiwan Terbiar 2025, bertujuan memupuk pemilikan haiwan peliharaan yang lebih bertanggungjawab, memperkasa komuniti dan menyokong pengurusan anjing terbiar secara beretika, berperikemanusiaan dan mampan.
Majlis telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Haji Mohd Haffiz bin Haji Ahmad, Datuk Bandar Johor Bahru, dan diserikan dengan kehadiran Ahli-ahli Majlis MBJB, Vet Partners Malaysia, KOOL PETS Sdn. Bhd., Iskandar Malaysia Social Hero serta Jabatan Veterinar Negeri Johor.
MBJB merakamkan penghargaan kepada KPKT atas peruntukan sebanyak RM10,000 bagi menjayakan kempen ini, sekali gus menyokong usaha menangani isu anjing terbiar agar tidak menjejaskan kesihatan awam dan kesejahteraan komuniti.
Bertemakan "Anjing Terbela, Komuniti Bahagia", kempen ini merangkumi program kesedaran komuniti, advokasi pelesenan dan vaksinasi, program kembiri serta peluang pengambilan haiwan angkat.
Selaras dengan pendekatan Trap Neuter Rehome, MBJB turut mengekalkan komitmen melalui program kembiri berskala besar yang telah dilaksanakan dalam 4 sesi terdahulu bersama rakan strategik seperti Vet Partners Malaysia dan Iskandar Social Hero.
Inisiatif ini juga memperkukuh kefahaman masyarakat, NGO dan pihak berkepentingan dalam pengurusan populasi anjing terbiar secara lestari serta pencegahan penyakit seperti rabies, leptospirosis dan salmonella.
MBJB turut merakamkan penghargaan kepada:
- KOOL PETS Sdn. Bhd. selaku penaja
- Vet Partners Malaysia atas sumbangan baucar
- NGO & agensi berkaitan yang bersama menjayakan inisiatif hari ini
MBJB sentiasa kekal komited untuk terus melaksanakan kempen seumpama ini demi kesejahteraan bersama dan komuniti yang lebih harmoni.