Skip to main content

QS Team MBJB Cipta Nama Raih Naib Juara Public Sector AI Nexus Challenge 2026

JOHOR BAHRU | Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sekali lagi membuktikan keupayaan dan kecemerlangan warganya apabila QS TEAM MBJB berjaya meraih NAIB JUARA dalam Public Sector AI Nexus Challenge 2026, menerusi inovasi PROCU AI – Smart Procurement Intelligence. Kejayaan ini merupakan satu pencapaian signifikan buat MBJB dalam usaha memperkukuh agenda transformasi digital serta memperluas penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence – AI) dalam penyampaian perkhidmatan sektor awam.
 
Lebih membanggakan, hadiah kemenangan telah disampaikan oleh YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara (KSN), sekali gus mengangkat pencapaian QS TEAM MBJB sebagai satu pengiktirafan bermakna terhadap keupayaan warga Pihak Berkuasa Tempatan dalam menghasilkan penyelesaian digital yang inovatif, praktikal dan berimpak tinggi.
 
Kejayaan ini digalas oleh tiga warga MBJB yang menggabungkan kepakaran daripada pelbagai bidang iaitu Ts. Norhayati Shamsudin, Ketua Kumpulan dari Bahagian Perolehan; Hj. Abdul Karim Ismail dari Jabatan Pengangkutan Bandar; serta Pn. Hasidah Othman dari Jabatan Teknologi Maklumat. Gabungan pengalaman, kepakaran dan pemikiran inovatif pasukan ini telah berjaya menterjemahkan satu cabaran sebenar dalam pengurusan perolehan kepada sebuah penyelesaian berasaskan teknologi AI yang berpotensi memberikan nilai tambah kepada organisasi.
 
Kejayaan QS TEAM MBJB juga mencerminkan komitmen MBJB untuk terus membudayakan inovasi, memperkasa kompetensi warga kerja serta meneroka potensi teknologi AI sebagai pemangkin kepada sistem penyampaian perkhidmatan bandar raya yang lebih pintar dan berkesan. Ia bukan sekadar sebuah kemenangan dalam pertandingan, malah menjadi simbol kepada kesediaan MBJB untuk bergerak seiring dengan perubahan teknologi dan keperluan masa hadapan.
 
Setinggi-tinggi tahniah dan syabas diucapkan kepada QS TEAM MBJB atas pencapaian yang cukup membanggakan ini. Semoga kejayaan tersebut menjadi pencetus kepada lebih banyak idea berani dan inovasi berimpak tinggi dalam kalangan warga MBJB, seterusnya memperkukuh kecemerlangan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat serta mendukung aspirasi Johor sebagai sebuah negeri yang maju, progresif, pintar dan berdaya saing.
 
Image
Tahniah QS TEAM MBJB
Image
Tahniah QS TEAM MBJB
Image
Tahniah QS TEAM MBJB