Skip to main content

Hutan Bandar MBJB : Laman Hijau Di Tengah Bandar Raya Menyokong Kesejahteraan Komuniti dan Pembangunan Mampan

Hutan Bandar Laman Hijau

Kemajuan sesebuah bandar bukan sekadar diukur melalui pembangunan fizikal dan pertumbuhan ekonomi sahaja, tetapi juga melalui keupayaannya menyediakan ruang awam yang berkualiti demi kesejahteraan masyarakat. Dalam landskap pembangunan bandar, kawasan hijau dan taman awam kini menjadi komponen penting yang menyumbang kepada kualiti hidup penduduk. Selain berfungsi sebagai lokasi rekreasi, taman-taman awam turut menjadi ruang interaksi sosial, menggalakkan gaya hidup sihat, meningkatkan kesejahteraan komuniti serta menyokong pemeliharaan alam sekitar. Di Johor Bahru, Hutan Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mencerminkan bagaimana sebuah taman awam dapat memenuhi peranan tersebut melalui perancangan yang sistematik dan pengurusan yang berterusan.

Terletak kira-kira dua kilometer dari pusat bandar Johor Bahru, Hutan Bandar MBJB meliputi kawasan seluas 35 ekar dan dibangunkan secara berperingkat bermula pada tahun 1993. Dalam tempoh lebih tiga dekad, taman rekreasi ini berkembang menjadi antara ruang hijau bandar yang utama di Johor Bahru. Kemudahan yang terdapat di Hutan Bandar MBJB seperti trek joging, taman permainan kanak-kanak, kolam rekreasi air, tapak perkhemahan, chalet, Rumah Johor, Taman Orkid, dewan, medan selera, surau serta tapak perkhemahan memenuhi keperluan pelbagai lapisan masyarakat. Kepelbagaian fasiliti ini membolehkan Hutan Bandar MBJB menjadi lokasi pilihan untuk aktiviti riadah harian, program komuniti, rekreasi keluarga dan aktiviti pendidikan alam sekitar.

Bagi memastikan kemudahan ini terus memenuhi keperluan masyarakat, Hutan Bandar MBJB kini melalui transformasi menerusi projek naik tarf yang memberi fokus kepada peningkatan kualiti kemudahan, aksesibiliti dan pengalaman pengujung. Projek tersebut merangkumi penambahbaikan landskap, kemudahan infrastruktur awam, laluan pejalan kaki serta penyediaan tarikan baharu seperti Flying Fox, Rope Course, Camp Site, Natural Trails dan Kawasan Rekreasi Air sekali gus memperluaskan fungsi Hutan Bandar sebagai destinasi rekreasi keluarga.

Selain daripada pembangunan fizikal, aspek keselamatan dan kelestarian juga turut diberi perhatian. Pembangunannya sejak awal dirancang dengan mengekalkan struktur asal muka bumi, sumber air serta sebahagian besar litupan pokok sedia ada, sekali gus mewujudkan persekitaran hijau yang menyokong biodiversiti bandar. Kehadiran Taman Orkid seluas kira-kira 10 ekar yang mempamerkan pelbagai spesies orkid tempatan dan komersial turut memperkayakan nilai pendidikan serta pemuliharaan flora di kawasan ini. Persekitaran yang menghijau dengan rangkaian tasik dan pokok-pokok matang juga menyediakan habitat semula jadi kepada pelbagai hidupan bandar seperti burung, tupai, serangga pendebunga dan hidupan akuatik, menjadikan Hutan Bandar bukan sekadar ruang rekreasi, malah sebuah ekosistem bandar yang menyokong keseimbangan alam sekitar.
Kepentingan Hutan Bandar turut diiktiraf dalam pembangunan sektor pelancongan negeri apabila destinasi ini disenaraikan sebagai antara lokasi rekreasi utama sempena Tahun Melawat Johor 2026. Kedudukannya yang strategik serta suasana hijau di tengah bandar menjadikannya antara tarikan yang melengkapkan produk pelancongan bandar Johor Bahru, khususnya bagi pengunjung yang mencari pengalaman rekreasi dalam persekitaran semula jadi. Ini dibuktikan melalui peningkatan jumlah pengunjung ke Hutan Bandar. Berdasarkan laporan, bermula Januari sehingga Jun 2026 seramai 98,247 pengunjung direkodkan mengunjungi Hutan Bandar MBJB. Statistik ini menunjukkan bahawa taman awam terus memainkan peranan penting sebagai lokasi pilihan masyarakat untuk beriadah, bersukan dan menjalankan aktiviti bersama keluarga.

Bagi Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), penyediaan dan penyelenggaraan Hutan Bandar merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan dalam memastikan masyarakat mempunyai akses kepada ruang rekreasi awam yang selesa, selamat dan berkualiti. Melalui usaha menaik taraf kemudahan serta penyelenggaraan yang dilaksanakan secara berterusan, MBJB berusaha memenuhi keperluan rekreasi dan riadah masyarakat di samping mengekalkan fungsi Hutan Bandar sebagai ruang hijau yang menyokong kesejahteraan komuniti. Pendekatan ini mencerminkan komitmen MBJB dalam menyediakan kemudahan awam yang bukan sahaja memenuhi keperluan semasa, malah terus relevan untuk dinikmati oleh generasi akan datang.