Skip to main content

Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MBJB 2026

08 April 2026 | Dewan Kenanga, Menara MBJB
 
Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) merupakan sebuah acara berprestij yang menjadi simbol penghargaan dan pengiktirafan tertinggi kepada seluruh warga kerja MBJB yang telah menunjukkan komitmen, dedikasi serta kecemerlangan luar biasa dalam melaksanakan amanah kepada masyarakat dan bandar raya.
 
Dalam amanat penuh inspirasi, YB Dato’ Haji Mohd Haffiz bin Haji Ahmad, Datuk Bandar Johor Bahru menegaskan bahawa kecemerlangan sesebuah organisasi tidak hanya terletak pada dasar dan perancangan tetapi dipacu oleh keikhlasan, integriti serta komitmen berterusan setiap warganya dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik. Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga MBJB atas kesungguhan yang dizahirkan dalam setiap tugasan, sekali gus mencerminkan imej sebuah pihak berkuasa tempatan yang progresif dan diyakini.
 
Beliau seterusnya menyeru agar seluruh warga MBJB terus melangkah ke hadapan dengan iltizam yang tinggi, memperkukuh semangat kebersamaan serta membudayakan inovasi dalam setiap aspek penyampaian perkhidmatan. Penambahbaikan berterusan dan pembaharuan strategik perlu digerakkan secara konsisten bagi memastikan aspirasi menjadikan Johor Bahru sebagai sebuah bandar raya pintar, mampan dan sejahtera dapat direalisasikan dengan jayanya.

Majlis turut diserikan dengan pelbagai pengiktirafan yang mencerminkan keprihatinan dan penghargaan organisasi terhadap sumbangan warganya, antaranya penyampaian sumbangan kepada enam (6) bakal jemaah haji, penghargaan kepada tiga puluh dua (32) kakitangan yang menunjukkan tahap kesihatan dan disiplin kerja cemerlang tanpa cuti sakit serta tanpa penggunaan peruntukan perubatan, seramai seratus tiga (103) penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, empat (4) penerima Anugerah Khas Datuk Bandar, enam puluh satu (61) penerima Anugerah Khidmat Bakti, serta dua puluh tujuh (27) bakal pesara yang diraikan atas jasa dan sumbangan mereka sepanjang tempoh perkhidmatan.
 
Setinggi-tinggi tahniah dan syabas diucapkan kepada semua penerima anugerah. Semoga pengiktirafan ini menjadi pemangkin untuk terus melakar kecemerlangan, memperkukuh semangat berkhidmat serta menjadi contoh teladan dalam menyampaikan perkhidmatan awam yang berkualiti, berintegriti dan berimpak tinggi kepada seluruh warga Johor Bahru.
Image
Anugerah Perkhidmatan Cemerlang
Image
Anugerah Perkhidmatan Cemerlang
Image
Anugerah Perkhidmatan Cemerlang
Image
Anugerah Perkhidmatan Cemerlang