Skip to main content

Program LA21 Pengindahan dan Keceriaan Taman Permainan Kanak-Kanak Kampung Dato' Sulaiman Menteri

JOHOR BAHRU, 7 Februari — YB Dato' Haji Mohd Haffiz bin Haji Ahmad, Datuk Bandar Johor Bahru hari ini merasmikan Program Pengindahan dan Keceriaan LA21 sempena pembukaan semula Taman Permainan Kanak-Kanak Jalan Bunga Melati, Kampung Dato’ Sulaiman Menteri, sebagai usaha berterusan memperkasa kemudahan awam serta menghidupkan semangat kebersamaan komuniti setempat.
Datuk Bandar Johor Bahru dalam ucapannya berkata, walaupun taman ini berskala kecil, ianya berperanan besar sebagai ruang yang menyatukan generasi, tempat anak-anak membesar, keluarga berinteraksi dan masyarakat untuk mengeratkan silaturrahim. Menurut beliau, ruang awam yang dihidupkan dengan baik mampu memberi kesan positif terhadap kesejahteraan fizikal, mental dan sosial komuniti.
Taman permainan yang dinaiktaraf ini turut menampilkan konsep mesra Orang Kurang Upaya (OKU) dengan penyediaan laluan tanpa halangan, ramp kerusi roda serta laluan tactile bagi membantu golongan OKU penglihatan bergerak dengan lebih selamat dan selesa. Inisiatif ini mencerminkan komitmen MBJB dalam mewujudkan bandar raya yang inklusif dan boleh dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
Lebih menarik, taman ini juga dilengkapi Kiosk Bacaan Komuniti yang diwujudkan sebagai platform pembudayaan ilmu dan aktiviti literasi santai untuk kanak-kanak serta keluarga. Kiosk tersebut merupakan hasil kolaborasi antara komuniti setempat bersama Ahli Majlis MBJB Zon Bakar Batu dan rakan strategik termasuk Happy Riders Connect, Rotary Club of Johor Bahru Sentral dan Perpustakaan Sultan Ismail.
Dalam majlis yang sama, turut diadakan pelantikan Duta Sejahtera MBJB (DUTRA) Kampung Dato’ Sulaiman Menteri yang akan berperanan sebagai rakan komuniti dalam menjaga kemudahan awam serta menggerakkan aktiviti kemasyarakatan di kawasan tersebut.
Ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada seluruh rakan strategik serta penduduk Kampung Dato’ Sulaiman Menteri yang berganding bahu menjayakan inisiatif ini.
Usaha pengindahan taman ini diharap dapat terus menghidupkan ruang kejiranan dengan aktiviti bermanfaat, suara kanak-kanak dan semangat kebersamaan komuniti, selaras dengan aspirasi menjadikan Johor Bahru sebuah bandar raya yang sejahtera, inklusif dan berdaya huni.

Program LA21 Program LA21