Jumaat, 30 Mei 2025 | Dewan Inai Merah, Menara MBJB
Image

Syukur ke hadrat Ilahi, Mesyuarat Penuh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Bil. 5/2025 telah berlangsung dengan jayanya dan dipengerusikan oleh YB Dato’ Haji Mohd Haffiz bin Haji Ahmad, Datuk Bandar Johor Bahru.
Dalam ucapan beliau, YB Dato’ merumuskan hasil sesi 'town hall' bersama komuniti TMIYC yang telah diadakan bagi mendapat pandangan, cadangan serta idea-idea baharu, khususnya daripada golongan belia. Inisiatif ini bertujuan memperkasakan TMIYC sebagai pusat tumpuan utama dengan pelaksanaan pelbagai aktiviti yang menarik dan inklusif.
Beliau turut menekankan isu kebersihan bandar, khususnya berkenaan pengurusan sisa dan pembuangan sampah. Cadangan pemasangan tong sampah pintar ('smart bin') dibangkitkan sebagai langkah ke arah pengurusan bandar yang lebih sistematik, namun beliau juga menekankan peranan dan sikap warga kota dalam memelihara kebersihan persekitaran secara bersama.
Dalam usaha MBJB mencapai penarafan Bandar Pintar Tahap Ketiga, beliau memaklumkan bahawa proses pengumpulan data sedang giat dijalankan dan menyeru kerjasama semua agensi berkaitan untuk bersiap sedia menyokong aspirasi ini.
Selain itu, MBJB juga telah memutuskan untuk membekukan serta-merta semua lesen perniagaan bagi aktiviti spa, rumah urut tradisional dan refleksologi sebagai langkah kawalan dan penambahbaikan terhadap penguatkuasaan lesen perniagaan di bandar raya ini.
Di penghujung mesyuarat, YB Dato’ mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam, serta mendoakan agar semua jemaah haji diberi kemudahan dalam mengerjakan ibadah dan dikurniakan haji yang mabrur.