Majlis Aidilfitri MBJB tahun ini berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 10,000 tetamu dari pelbagai lapisan masyarakat, termasuk para tetamu kehormat yang turut memeriahkan suasana. Majlis diserikan dengan kehadiran YB Dato' Haji Mohd Haffiz bin Haji Ahmad, Datuk Bandar MBJB serta YBhg. Datin Hajah Norita binti Zaini, Pengerusi PUSPANITA MBJB.
Turut hadir YBhg Dato’ Haji A. Aziz Bin Ahmad, Ketua WHIP MBJB, Tuan Haji Mohd Farid bin Hassan, Tuan Setiausaha MBJB, Puan Ir. Hajah Nazatul Shima binti Mohamad, Timbalan Setiausaha MBJB, barisan Ahli-Ahli Majlis dan seluruh warga kerja MBJB.
Majlis dimulakan dengan alunan selawat dan marhaban, diikuti bacaan doa penuh penghayatan sebelum para tetamu menikmati jamuan istimewa Aidilfitri. Suasana keceriaan ini turut dikongsi bersama anak-anak yatim dari Rumah Barkat yang diraikan dengan penuh kasih sayang.
Semoga kemeriahan sambutan Syawal ini terus menyemarakkan perpaduan serta menjadi ikatan keharmonian di bandar raya Johor Bahru.

