MENU

07 OKTOBER 2021 : Sekitar Operasi Menyelamat Orang Papa (Gelandangan dan Pengemis) di sekitar bandar raya Johor Bahru Fasa 3 bermula jam 11.00 malam semalam. Operasi bersepadu ini diselaraskan oleh Pejabat Daerah Johor Bahru dan disertai oleh MBJB, PDRM, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Kesihatan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM).

Dalam operasi Fasa 3 ini, seramai 34 orang papa (gelandangan dan pengemis) yang diselamatkan telah ditempatkan di Dewan Serbaguna Pusat Perlindungan Wanita Taman Perling bagi menjalani saringan menyeluruh dari segi COVID-19, kesihatan, penyalahgunaan bahan terlarang, rekod kendiri dan lain-lain lagi. Setelah mendapat keputusan saringan berkaitan, mereka akan ditempatkan di Dewan Serbaguna Pusat Perlindungan Wanita Taman Perling dan sebahagian daripada mereka akan diserahkan kepada agensi berkaitan. Sehingga ke Fasa 3 ini, seramai 87 orang gelandangan di kawasan Johor Bahru telah diselamatkan.

Bagi memastikan bantuan sokongan kepada golongan gelandangan yang akan ditempatkan di Dewan Serbaguna Pusat Perlindungan Wanita Taman Perling ini berjalan lancar dan teratur, MBJB turut membantu menyediakan peruntukan untuk pelaksanaan program ini termasuk penyediaan keperluan peralatan pembersihan diri; keperluan katil, cadar, sarung bantal dan tuala; dobi; utiliti; perubatan; elaun harian petugas; serta perbelanjaan pembaikan dan ubahsuai bangunan.

Dalam usaha berterusan melindungi warga bandar raya Johor Bahru dari wabak COVID-19 dan memelihara kebajikan setiap warga bandar raya, MBJB memberi tumpuan sepenuhnya untuk menyelamatkan golongan gelandangan ini yang terdedah dan berisiko tinggi kepada jangkitan wabak COVID-19 selain memelihara kebajikan mereka.

Program seumpama ini akan dijalankan dari semasa ke semasa.

Operasi Bersama

Operasi Bersama