MENU

KUNJUNGI GALERI MBJB - MASUK ADALAH PERCUMA

Waktu Operasi :

Ahad hingga Rabu            : 8.30 pagi hingga 4.30 petang
Khamis                               : 9.00 pagi hingga 3.00 petang
Tutup pada hari cuti kelepasan am.

Alamat:

Galeri Majlis Bandaraya Johor Bahru,
Aras 3, Bangunan JOTIC,
Jalan Ayer Molek, 80000 Johor Bahru, Johor.
Tel : 07-2198053 / 07-2198054

SEJARAH PENUBUHAN

Penubuhan Galeri Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) adalah mengambil sempena kejayaan MBJB menerima pengiktirafan ‘EMPAT BINTANG’ ‘Sistem Star Rating’ (SSR-PBT) oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada tahun 2009. Penubuhannya juga mendapat sokongan daripada Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) di bawah Program Pelancongan Tanjung Puteri.

Galeri MBJB memuatkan maklumat berkaitan dengan sejarah dan perkembangan Bandar Raya Johor Bahru dan juga Majlis Bandaraya Johor Bahru. Beberapa peralatan lama yang pernah digunakan oleh pihak Majlis turut dipamerkan di galeri ini.

FUNGSI

  • Mengumpul dan memulihara bahan-bahan serta artifak-artifak yang mempunyai nilai warisan dan sejarah berkaitan dengan Majlis Bandaraya Johor Bahru.
  • Kemudahan untuk orang ramai dan pengkaji-pengkaji mendapatkan maklumat mengenai Bandar Raya Johor Bahru sebagai Pihak Berkuasa Tempatan yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal pentadbiran, perancangan dan pembangunan Johor Bahru.
  • Meningkatkan rasa ‘kekitaan’ (sense of belonging) serta kebanggaan terhadap Bandar Raya Johor Bahru.
  • Menambah tarikan orang ramai untuk mengunjungi Pusat Penerangan Pelancongan Johor (JOTIC) seterusnya menyemarak sektor pelancongan di Bandar Raya Johor Bahru.

LOKASI

  • Aras 3, Bangunan JOTIC, Jalan Ayer Molek, 80000 Johor Bahru, Johor.

GALERI INI DIBAHAGIKAN KEPADA 6 BAHAGIAN :

  • Sejarah Johor Bahru
  • MBJB, Pihak Berkuasa Tempatan Anda
  • Keunikan dan Keistimewaan Johor Bahru
  • Johor Bahru, Dulu dan Kini
  • Johor Bahru, Bandar Raya Permata Selatan
  • Kaunter ‘Johor Bahru Visitor Centre’

SEJARAH JOHOR BAHRU

Memaparkan sejarah pembukaan Bandar Iskandar Puteri (nama lama Johor Bahru) oleh Temenggung Daeng Ibrahim pada 10 Mac 1855. Pelbagai gelaran dan nama yang diberikan kepada negeri Johor ini yang dikatakan berasal daripada perkataan Arab ‘Jauhar’ membawa maksud batu permata, Wurawari yang bermakna air yang jernih dan Ujung Tanah atau Hujung Madini.

Turut dimuatkan biodata sultan-sultan yang telah membawa Johor ke mercu kecemerlangan, antaranya Sultan Abu Bakar dan Sultan Ibrahim. Selain itu, tokoh-tokoh pembesar negeri yang telah membantu pentadbiran negeri turut dipaparkan.

Maklumat mengenai penubuhan bangunan warisan bersejarah yang masih kekal hingga ke hari ini dapat membantu anda mengimbau sejarah perkembangan Bandar Raya Johor Bahru yang kaya dengan adat budaya pelbagai kaum.

MBJB, PIHAK BERKUASA TEMPATAN ANDA

Menyingkap sejarah perkembangan MBJB bermula dari penubuhan Lembaga Bandaran pada tahun 1910 diikuti dengan Majlis Bandaran, Majlis Perbandaran seterusnya dianugerahkan taraf Bandar Raya pada 1 Januari 1994.

Sebagai Pihak Berkuasa Tempatan, MBJB berusaha sedaya upaya untuk memberikan perkhidmatan perbandaran yang terbaik kepada warga bandar raya Johor Bahru. Turut dipamerkan beberapa peralatan lama yang digunakan oleh MBJB, piala-piala kemenangan, koleksi penerbitan serta cenderahati yang pernah dikeluarkan oleh pihak Majlis.

KEUNIKAN DAN KEISTIMEWAAN

Tahukah anda… Johor Bahru adalah Bandar Raya paling selatan di semenanjung Malaysia dan tanah besar Asia?

Kedudukan tersebut telah menyerlahkan keistimewaan dan keunikan Bandar Raya Johor Bahru yang terkenal sebagai pintu masuk utama dari Selatan Semenanjung.

Johor Bahru juga adalah jambatan penghubung antara Malaysia dan Singapura sejak Tambak Johor dirasmikan pada tahun 1924.

Anda boleh saksikan beberapa mercu tanda dan keunikan budaya Johor melalui paparan-paparan menarik yang disediakan.

JOHOR BAHRU, DULU DAN KINI

Mengimbau Johor Bahru masa dulu dan sekarang menerusi rakaman foto-foto menarik. Turut dimuatkan bangunan-bangunan warisan dan bersejarah yang masih kekal hingga hari ini.

JOHOR BAHRU BANDAR RAYA PERMATA SELATAN

Memaparkan serba sedikit perkembangan Johor Bahru pada masa ini serta aktiviti warganya yang berteraskan semangat perpaduan antara kaum.

KAUNTER ‘JOHOR BAHRU VISITOR CENTRE’

Perkhidmatan ini disediakan di Galeri Majlis Bandaraya Johor Bahru yang memberi kemudahan kepada pelancong tempatan dan luar negara mengenai tempat-tempat menarik untuk dilawati di negeri Johor amnya dan Johor Bahru khususnya. Turut disediakan brosur/pamplet dan informasi sebagai panduan serta kemudahan mini teater yang menayangkan paparan-paparan menarik produk-produk pelancongan untuk dikunjungi di Johor Bahru.