MENU
Maksud Cukai Harta
 
Cukai Harta adalah cukai yang dikenakan ke atas setiap pegangan berkadar di dalam kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru mengikut kuasa yang diberikan  d bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171)

Bagaimana Cukai Harta

Cukai Harta anda dikira berdasarkan kepada Nilai Tambah dan Kadar.

Nilai Tambah adalah berasaskan Harga Pasarn harta anda (Nilai Tanah termasuk Bangunan jika ada) pada satu aras nilai tertentu yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri. Nilai Tambah yang digunakan pada masa ini adalah mengikut nilai pasaran pada tahun 2013.

Kadar pula ialah peratus yang dikenakan ke atas nilai harta anda sebagai cukai harta yang perlu dibayar.

Kadar Peratus

Majlis Bandaraya Johor Bahru telah menetapkan kadar yang berbeza mengikut jenis pegangan iaitu :

PEGANGAN KADAR CUKAI HARTA
Perumahan dan Lain-Lain
0.12 %
Perumahan Rizab Melayu
0.04 %
Perdagangan
0.27 %Perindustrian0.30 %Pertanian0.07 %Perumahan Kos Rendah0.11 %Kampung Senibong0.07 %


  Muat Turun Broshur Pengurusan Cukai Harta

 

 
Cukai Harta yang dikenakan ke atas setiap pegangan bercukai boleh dibayar dua kali setahun :
 
Cukai Harta
Tempoh Bayaran
Penggal Pertama
Januari - Februari
Penggal Kedua
Julai - Ogos


Penggal Pertama (Januari - Jun)

Bil-bil cukai harta dikeluarkan pada bulan Januari setiap tahun dari tarikh akhir bayaran pada 28 Februari setiap tahun. Selepas tempoh tersebut notis lewat akan dikenakan.

Penggal Kedua (Julai - Disember)

Bil-bil cukai harta dikeluarkan pada bulan Julai setiap tahun dan tarikh akhir bayaran adalah pada 30 Ogos setiap tahun. Selepas tempoh tersebu tuntutan bayaran Cukai Harta akan dikenakan.
 
Pulangan Balik Cukai Harta / Remisi
 
Anda boleh membuat permohonan pulangan balik cukai harta/remisi sekiranya bangunan yang dimilik oleh anda TIDAK DIDIAMI / KOSONG dan masih dalam berkeadaan baik untuk didiami. Borang permohonan remisi dan syarat permohonan boleh diperolehi di Jabatan Penilaian, MBJB.

Apa Tindakan Anda Jika Bil Cukai Harta Tidak Diterima?
 
Sekiranya bil cukai harta tidak diterima sebagaimana tempoh yang telah ditetapkan, anda boleh mendapatkan sendiri bil tersebut di kaunter bayaran MBJB pada bila-bila masa waktu pejabat.

Kemudahan Pembayaran Cukai Harta Yang Disediakan

Terdapat beberapa kaedah pembayaran yang disedikan oleh pihak MBJB iaitu :
 
Pembayaran di Kaunter MBJB

Pihak MBJB telah menyediakan kaunter pembayaran di pejabat MBJB serta kaunter bergerak iaitu e-NOBAS yang dibuka 7 kali seminggu di kawasan yang telah dijadualkan. Jadual e-NOBAS boleh didapati di dalam Laman Web Majlis Bandaraya Johor Bahru.

Bayaran Secara Ansuran

Tunggakan cukai harta hanya dibenarkan untuk dibayar secara ansuran sekiranya jumlah tunggakan cukai harta adalah dalam jumlah yang besar. Borang Permohonan boleh diperolehi dari Jabtan Penilaian MBJB. Penetapan tempoh dan jumlah bayaran akan dibuat oleh pihak MBJB dengan persetujuan kedua-dua belah pihak.

Bayaran Melalui Pos

Bayaran cukai harta boleh dibuat melalui kiriman wang pos, cek dan Bank draf yang dipangkah "Akauan Penerima Sahaja" dan dibayar kepada Datuk Bandar, Majlis Bnadaraya Johor Bahru. Walau bagaimana pun cek persendirian tidak digalakkan.
 
 
Apakah yang terjadi sekiranya mempunyai tunggakan cukai harta ?


Notis berdenda akan dikeluarkan kepada pemilik harta yang tidak menjelaskan cukai harta mengikut masa yang ditetapkan. Tempoh masa yang tidak dikenakan notis berdenda adalah bulan Januari sehingga bulan Februari bagi penggal pertama, penggal kedua pula adalah dari bulan Julai sehingga bulan Ogos. Denda yang dikenakan sebagaimana berikut :

RM 50.00 dan kurangRM   2.00RM 50.01 - RM 500.00RM   4.00RM 500.1 - RM 1000.00RM 10.00RM 1000.01 dan lebihRM 15.00
  • Sekiranya pemilik masih gagal menjelaskan tunggakan cukai harta, operasi sitaan harta alih akan dijalankan di kawasan-kawasan terpilih.
     
  • Selain dari operasi sitaan, tindakan kaveat (menghalang apa-apa transaksi dari berlaku ke atas pegangan-pegangan terpilih . Tindakan ini bagi memastikan tiada tunggakan setelah pindahmilik berlaku.
     
  • Permohonan bayaran ansuran bagi tunggakan cukai harta yang tinggi juga diterima. Kelulusan adalah mengikut budibicara pihak Majlis.

 

Sekiranya Harta Disewakan ?

Adalah tanggungjawab penyewa untuk menyerahkan segala bil.notis yang diterima kepada pemilik harta.

Jika pemilik gagal menjelaskan tuntutan tersebut, tindakan untuk menahan dan melelong harta boleh diambil ke atas harta penyewa. Walau bagaimana pun, pihak MBJB boleh mengecualikan tindakan tersebut dengan menawarkan kepda penyewa untuk membayar tunggakan tersebut dengan nilai sewaan yang dibayar kepada pemilik sehingga tunggakan selesai sebagaimana kuasa yang diberikan dalam sek 151 (5)(6) Akta 171. Alamat surat menyurat hendaklah diberikan dengan betul bagi memudahkan bil/notis sampai kepada anda.

Apa Yang Anda Perlu Lakukan Sekiranya Ada Membeli sebarang Harta/Premis

Menyemak terlebih dahulu dengan pihak MBJB berkaitan tunggakan cukai harta bagi harta yang dibeli dan sekiranya harta tersebut adalah tanah kosong, pastikan alamat surat menyurat diberikan dengan betul bagi memudahkan bil/notis sampai kepada anda.

Anda juga perlu memaklumkan kepada MBJB samada melalui peguam atau datang sendiri ke Jabatan Penilain , MBJB dengan mengisi Borang I/J dalam tempoh 3 bulan dari tarikh transaksi dibuat. Kegagalan dalam berbuat demikian menyebabkan anda boleh disabitkan denda tidak melebihi RM 2,000.00 atau 6 bulan penjara atau kedua-duanya sebagaimana peruntukan Sek 160 (6) AKTA 171.

Sekiranya Anda Membeli Harta Lelong ?

Pastikan bil terakhir cukai harta dirujuk kepada pihak mahkamah yang menjalankan proses lelongan. Ini kerana tunggakan cukai harta akan ditolak daripada harga Jualan Lelongan sebagaimana yang diperuntukan oleh Sek 268 Kanun Tanah Negara.

Pindaan Kepada Nilai Tambah

Pindaan kepada nilai tambah ke atas pegangan boleh dibuat sekiranya berlaku perubahan fizikal ke atas harta tersebut seperti dibuat ubahan tambahan kepada bangunan, bangunan dirobohkan atau terbakar, pengambilan balik tanah dan sebagainya. Sebarang pindaan kepada nilai tambah akan dimaklumkan kepada pemilik melalui notis pemberitahuan dibawah Seksyen 144 dengan menyatakan nilai tambah dan cukai yang baru, tarikh berkuatkuasa dan tarikh akhir membuat bantahan.

Bantahan
 
Menurut Seksyen 142 Akta 171, pemilik yang tidak berpuas hati terhadap pindaan nilaian tersebut boleh membuat bantahan secara bertulis di atas mana-mana daripada alasan berikut :
 
1.
Sesuatu pegangan yang pada pendapatnya telah dinilaikan lebih daripada nilai yang boleh dikenakan kadar,
2.
Bahawa sesuatu pegangan yang dinilai adalah pegangan yang tidak boleh dikenakan kadar,
3.
Sesuatu pegangan yang tertinggal daripada Senarai Nilaian,
4.
Sesuatu pegangan yang pada pendapatnya telah dinilaikan kurang daripada nilai yang boleh dikenakan kadar,
5.
Sesuatu pegangan yang telah dinilai secara bersama atau berasingan sepatutnya dinilai secara lain.


Pemilik akan dijemput hadir ke sesi pendengaran bantahan yang akan ditetapkan dan boleh membawa sekali sebarang bukti atau laporan penilaian yang boleh menyokong permohonannya.

   

 

Apakah Notis Pindahmilik ?
 
Notis ini merupakan makluman bertulis daripada pemilik harta bahawa berlakunya pertukaran nama pemilik harta akibat berlaku jualbeli atau warisan harta pusaka. Notis pindahmilik kerana jualbeli atau warisan harta pusaka dibuat menggunakan Borang I manakala pertukaran pemilik akibat kematian dibuat menggunakan Borang J.
 
Bagaimana Hendak Mendaftarkan Notis Pindahmilik ?
 
Dapatkan Borang I atau Borang J di Jabatan Penilaian MBJB atau dicetak terus melalui laman web ini. Pendaftaran Notis Pindahmilik juga boleh dibuat melalui peguam yang dilantik. Setelah dilengkapkan, kembalikan semula ke Jabatan Penilaian MBJB dengan dilampirkan dokumen-dokumen berikut :

 

1.
Satu Salinan resit cukai harta terkini yang telah dibayar.
2.
Satu Salinan Kad Pengenalan Setiap Pemilik (bagi individu) atau Borang 9/13 (bagi syarikat).
3.
Satu Salinan Dokumen Hakmilik mana-mana yang berikut :
 -
Geran dengan nama pemilik terkini (jika telah memiliki Geran); atau
 -
Surat Hakmilik Sementara dengan nama pemilik asal dan Borang 14A (jika belum memiliki Geran); atau
 -
Perjanjian Jualbeli (mukasurat depan, mukasurat 1 dan Jadual Pertama sahaja) bagi rumah pangsa / apartment / kondominium yang belum dikeluarkan Hakmilik Strata;
4.
Bayaran pendaftaran RM50.00 untuk 1 transaksi pindahmilik. Jika menggunakan cek / wang pos, bayar kepada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru.

 

 

 

PERKHIDMATAN LAIN YANG DISEDIAKAN

 

 
Carian Maklumat Harta

 

Perkhidmatan ini disediakan untuk orang awam mendapatkan maklumat berkaitan dengan sesuatu harta tanah dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Johor Bahru. Jenis maklumat yang boleh diberikan adalah kedudukan harta, maklumat pemilik, nombor lot, nombor hakmilik serta keluasan lot dan bangunan. Bayaran RM20.00 dikenakan untuk setiap carian maklumat harta.