MENU

JOHOR BAHRU, 25 Ogos 2019 – Sebanyak 304 lesen premis-premis perniagaan telah disemak oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dalam Operasi Bancian Lesen Premis Perniagaan yang berlangsung di KSL City Mall hari ini.

Operasi yang melibatkan seramai 40 anggota dari Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasaan MBJB ini diketuai oleh Setiausaha MBJB, Encik Abdul Malik bin Ismail. Operasi ini merupakan operasi yang ketiga sejak dilaksanakan bermula pada Julai tahun ini dan merupakan inisiatif bagi memaksimakan bilangan pelesen yang menjalankan aktiviti perniagaan di dalam kompleks komersial.

Tujuan operasi ini diadakan adalah bagi menyemak premis dan operasi pemutihan lesen dalam kompleks komersial di dalam kawasan pentadbiran MBJB. Semakan terhadap premis perniagaan dan maklumat lesen ini dapat membantu MBJB dalam mengenalpasti sebarang pengemaskinian yang perlu dilakukan oleh pemilik lesen sekiranya terdapat perbezaan dalam maklumat lesen dan aktiviti perniagaan sebenar yang dijalankan di lokasi.

Selain itu, operasi ini turut mensasarkan lot-lot tambahan yang dibuka di ruang legar kompleks bangunan serta kiosk-kiosk kecil di sebahagian laluan kaki lima kompleks perniagaan.

Hasil daripada semakan yang dilakukan, sebanyak 31 notis peringatan telah dikeluarkan atas kesalahan tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah dari MBJB. Notis yang dikeluarkan ini adalah merupakan arahan kepada pemilik perniagaan agar dapat membuat permohonan lesen yang sah daripada MBJB sebelum tindakan undang-undang diambil

Menurut Setiausaha MBJB, “Usaha operasi bancian lesen perniagaan ini dapat membantu pihak jabatan dalam memantau serta membuat kawalan terhadap aktiviti sebenar yang dijalankan dalam premis serta mengemaskini data pegangan lesen yang disimpan oleh PBT.”

Operasi Bancian Lesen Premis Perniagaan