MENU

BAHAGIAN AUDIT DALAM

Audit Dalam merupakan satu fungsi bebas yang memberi kepastian dan khidmat perundingan secara objektif untuk menambah nilai dan mempertingkatkan tahap operasi organisasi. Bagi mencapai matlamat kebebasan dalam menjalankan tugasnya dan menjamin keberkesanan, Audit Dalam bertanggungjawab terus kepada Y.B Datuk Bandar dan diberi kuasa secara pentadbiran untuk melihat segala rekod, baucar, daftar-daftar, wang tunai, barang-barang stor dan aset-aset Majlis yang tertakluk kepada auditannya.  Ia juga dibolehkan untuk mencapai atau akses kepada sistem komputer bagi menentukan ketepatan data sistem maklumat.

BIDANG AUDITAN

Tugas-tugas audit dibahagikan kepada tiga (3) bidang iaitu Audit Pengurusan Kewangan, Audit Prestasi dan Audit Pematuhan.

Audit Pengurusan Kewangan merangkumi pemeriksaan terhadap sistem kewangan, kawalan dalaman dan rekod kewangan untuk menentukan sama ada perbelanjaan, hasil, aset dan stor telah diurus mengikut undang-undang, peraturan dan arahan yang berkaitan. Ini adalah bertujuan untuk menentukan bahawa pembayaran dibuat dengan teratur dan adalah dibenarkan, hasil-hasil adalah dikenakan dan dipungut dengan betul dan aset-aset dikira dan dikawal dengan sepatutnya. Audit Pengurusan Kewangan hendaklah juga menentukan sama ada sistem perakaunan dan rekod-rekod adalah sempurna dan boleh dipercayai supaya pihak pengurusan atasan boleh mendapat maklumat yang tepat dan dalam masa yang singkat. Audit  Pengurusan Kewangan juga melihat dari sudut Indeks Akauntabiliti.  Fokus auditan pula adalah terhadap 8 elemen utama iaitu Kawalan Pengurusan, Kawalan Bajet, Kawalan Terimaan, Kawalan Perbelanjaan, Pengurusan Akaun Amanah Dan Deposit, Pengurusan Aset Dan Stor, Pengurusan Kenderaan serta Pengurusan Perolehan.

Audit Prestasi merangkumi penilaian terhadap aktiviti organisasi untuk menentukan matlamatnya telah dicapai dan sumber digunakan secara berhemat, cekap dan berkesan. Audit Prestasi merupakan pemeriksaan yang objektif dan analitikal terhadap kecekapan, kekesanan pengurusan dan penggunaan sumber-sumber organisasi.

Audit Pematuhan merangkumi pemeriksaan dan pemerhatian terhadap aktiviti-aktiviti atau program yang dilaksanakan oleh organisasi untuk menentukan sama ada aktiviti program berkenaan telah mematuhi peraturan, perundingan serta dasar organisasi yang berkuatkuasa.